Thursday 15 January 2009

BERCAKAP DENGAN FYNN JAMAL

Photo dari Myspace Fynn Jamal



1. Siapakah Fynn Jamal?

Secara metaforanya, Fynn Jamal adalah suara ramai orang di luar sana. Penggunaan bahasa yang jarang memberi nama pada mana-mana karektor plotnya menjadikan Fynn Jamal begitu karib dengan hati mereka yang membaca. Fynn Jamal, sebenarnya adalah perasaan yang paling jauh disimpan dalam hati, namun dibongkarkan secara berani di atas pentas.

Saya lahir sebagai seorang Nur Affina Yanti binti Jamalludin. Seorang yang biasa2.

Fynn Jamal adalah kegagahan yang saya cipta selepas penat menjadi seorang Yanti yang pengecut, seorang yang hidup untuk menjunjung semua kecuali dirinya.

Dan saya tahu, saya bukan satu-satunya yang merasa begitu.



2. Bilakah kali pertama Fynn sedar bahawa Fynn ada anugerah seni?


Sehingga sekarang, saya masih tidak tahu apakah saya sudah selayaknya dipanggil punya seni. Perkataan itu terlalu tinggi di bola mata saya, dan untuk memberi kategori pada diri sendiri adalah sesuatu yang terlalu bongkak. Kalau hendak dirafa'kan semata-mata pada komen-komen dan pendapat pengikut di luar sana, saya tidak pasti apa mereka benar-benar gelar saya sang seni semata-mata pendapat sendiri atau pada asas maknanya.

Jadi saya memang tidak tahu.

Apa yang saya ingat, tulisan puisi saya yang pertama adalah ketika saya terjumpa kertas-kertas A4 bertaip milik bunda saya. Saya jumpa selepas beberapa bulan dia kembali ke rangkul Tuhan. Puisi yang paling saya ingat adalah "Jangan Ditanya", tentang betapa mesti diredhakan kematiannya dan diharamkan sesiapa bersoal sama Tuhan tentang takdirnya.

Saya tuliskan sesuatu untuk menjawab tulisan itu di belakang kertas lukisan yang disiapkan sebagai kerja rumah. Saya lukis gambar kubur bernisan, dengan puisi (yang malangnya tidak saya ingat itu) dalam font yang paling cantik untuk seorang anak darjah enam.

Saya tidak mampu mengembalikan ingatan tentang tulisan saya itu, tapi saya sangat pasti saya telah menulis menggunakan style ulangan, iaitu setiap baris dalam stanza, saya mulakan dengan "Usah ditanya mengapa".

Saya cuma hafal baris pertamanya:
Usah ditanya mengapa pasir tidur di tepi pantai.

Saya harap itu seni.



3. Siapakah yang sedikit sebanyak menyumbang atau mempengaruhi gaya penghasilan karya Fynn?

Manusia. Bukan sedikit. Hampir 80% terjana dari pengalaman saya sama manusia, atau sekurang-kurangnya apa yang pernah dirasakan kawan-kurang sama manusia lain, juga kisah-kisah manusia di mana-mana tempat dan masa.

Saya amat malu untuk mengaku, tapi saya sememangnya tidak membaca. Dari kecil, cara saya mendapatkan ilmu adalah melalui kaca tv, kerana saya ini manusia visual dan saya gemar observasi. Saya suka cipta relevan sendiri, mendapatkan penjelasan sendiri. Malangnya ia suatu kaedah yang sangat merbahaya, kerana kalau tidak diaplikasikan dengan hati-hati, ia akan menjadi perjudis.

Lalu saya kepilkan sekali sikap gemar bertanya. Saya belajar dari pengalaman sesiapa sahaja. Saya minta diterangkan, saya hendak dijelaskan.

Mungkin kerana saya ini seorang yang tinggi empathy nya, tapi membaca akan memaksa saya memihak, mengikut dan mudah (dipengaruh). Saya tidak mahu terlalu beriya mengikut tulisan sesiapa, kerana kecenderungan untuk berbunyi seperti orang yang saya baca itu ada.

Tapi itu dahulu.
Ketika saya masih lagi berhempas-pulas mencari siapa saya.
Ketika saya sibuk memerah diri mendapatkan intipati saya.

Dan alhamdulillah, selepas sekian lama, tulisan saya sudah stabil hingga ada banyak masa kalau tidak ditulis nama saya pun, sudah ada identiti saya terlorek di bahasa saya.

Maka kini, saya sedang menajamkan diri dengan bacaan.

Saya masih tidak memberi terlalu banyak fokus pada mana-mana penulis baik luar atau dalam negara. Tapi saya sekarang begitu damai merujuk kisah-kisah manusia dalam konteks sejarah Islamiyyah, spesifiknya di zaman rasul dan sahabat.


4. Apakah isu-isu yang sering menjadi topik kegemaran dalam sajak-sajak Fynn?

Cinta.

Klise, saya tahu. Tapi konsep cinta terlalu dijajankan dek kapitalis bahasa (saya merujuk pada konsep cinta murahan dari media) yang bila mana saya sebutkan perkataan itu, sudah terbalik bibir orang mencebik tanda stereotipikal.

Sudah terlalu macam-macam tercipta, semakin banyak aktiviti.
Terlalu banyak distraksi.

Ramai sudah lupa bagaimana cinta itu yang lahir dari jiwa.

Saya hidup atas fantasi menemukan cinta ayahbunda dalam kisah hidup saya. Puisi-puisi saya banyak berkisar tentang harapan mendapatkannya, tentang kekecewaan menunggunya, tentang kehancuran tersalah temukannya.

Dan seperti ramai orang, tulisan-tulisan sebegitu rupanya sudah lama di dalam hati, cuma tidak dijumpakan perkataannya.

Mungkin kerana itu, mereka selesa dengan saya yang menggunakan kosa kata biasa tapi tepat, berbanding perbendaharaan yang meletup tapi tidak sampai.


5. Mana satu yang betul, seni untuk seni atau seni untuk masyarakat?

Seni untuk diri sendiri. Kalau masyarakat atau platform seni itu hendak terima, itu hak mereka.

Seni itu pada pandangan sendiri.
Kenapa perlu diminta-minta anggukan mereka di luar sana?
Sentiasa jujur dgn rasa hati.


6. Apa komen Fynn tentang acara-acara indie terlalu berpusat di KL dan amat jarang di tempat-tempat lain? Tidak senikah orang-orang luar KL?

Seperti saya kata secara halus tadi, seni itu sekadar satu kategori ciptaan. Sebagai contoh, Siti Nurhaliza dikatakan diva etnik kreatif, Adlin Aman Ramli dijolok orang seni alaf baru. Itu semua permainan mereka yang tidak ada kerja lain selain mensensasi.

Tapi kalau hendak menjawab apakah tidak pencipta seni di tempat lain, saya rasa kelakar, lah. Sebab saya pun bukan orang KL. Saya cuma bekerja di KL. Puisi pertama saya pun tercipta di Kota Tinggi, Johor.

Cumanya, acara-acara indie (art scene) berpusat di KL sebab di luar sana, tidak ada satu tempat menonjol untuk golongan orang yang pelik-pelik macam kita. Boleh saja kau hendak busking di Danga Bay, tapi di sana, di tempat tidak lagi ada banyak pendedahan, pak guard Nepal itu akan halau kita.

Kalau acara indie musik, sebenarnya berlambak. Cuma tidak se'bersih' di KL yang memang terang-terang dihadiri rata-ratanya anak-anak universiti yang tidak hendak terlibat sangat kalau ada kemungkinan jadi kes-kes polis.



7. Ke manakah halatuju Fynn Jamal dalam soal seni ini?

Ada suatu malam itu saya terfikir, kalaulah benar saya ada pengikut sendiri, yang setiap butir saya digemarkan dan diikutkan, kenapa tidak saya bawa mereka ke jalan yang lebih molek.

Setidak-tidaknya, saya dapat tunaikan hak saya sebagai seorang muslim.

Tapi menjadi Fynn Jamal yang jelas tidak mencirikan kecantikan Islam itu pasti mencelakan niat saya. Lalu saya mula berdikit-dikit cuba untuk mengubah diri saya.

Dan untuk mengubah diri saya, adalah dengan mengubah suara jiwa saya.
Untuk menukar suara jiwa saya, adalah dengan menulis sesuatu yang lebih ada makna.

Bukan sekadar menulis semata-mata.

Mungkin, kalau dikurniakan Tuhan kemampuan saya, halatuju saya adalah penulisan yang jauh lebih ada signifikasi dengan tujuan saya hidup. Tentang patriotik saya pada agama ini, bukan buta-buta untuk berbual tentang cinta.

Mungkin.

..................
FYNN JAMAL akan beraksi di Maskara 7 Februari 2009. Tempat biasa: Planet Pena. Tandakan dalam diari anda.

13 comments:

sinaganaga said...

Wow, Fynn Jamal sangat seksi, i suka. :)

fynn jamal said...

seksi?
whaahahahahahahaa

Bobby Nuurri said...

hahaha. kakanda fynn ada di sana? saya mau jumpa face to face. haha. nnt jgn halau saya! :)

kerna seni itu kita.

♛ LORD ZARA 札拉 ♛ said...

Aduhai...

kelihatan menarik...

Chumelnya gambar dari MySpace dia~

Seni itu indah...

Tok Rimau said...

Tok darjah enam tidak tahu apa-apa. Kat longkang tangkap ikan mata lalat lagi.

fizzahyahiya said...

Ini mmg lain dari temubual dengan artis yang sering kita baca di majalah.

Jawapan Kak Fynn mmg bernas dan mendalam dan bijaksana. :)

Anonymous said...

bedeklah ;p

P.E.N.S.I.L L.A.N.G.I.T said...

kali pertama aku dengar name nih..
dah lame agaknya diam dalam dunia seni nih...

hohhh...

duwenk, Bangi
http://duwenk.wordpress.com

yuyu said...

senituniversal..

Jef Hadi said...

oho.banyak rupanya yang aku tertinggal.

Aku tak kenal pun sapa tu Fynn Jamal.Apatah lagi menjamah karya beliau.gila.

Mungkin lepas ni harus digiatkan lagi aktiviti cari gali karya anak seni Malaysia.

Masalahnya,karya dorang ni jarang ada.Lagi-lagi kat kawasan JB ni.Masih lagi mencari lubuk sastera.ADOI.

Ada sesiapa nak bantu mencari?atau kalau dah tahu.Kongsi lah.

hehe.

shahirahkhairudin said...

aku suka fynn jamal.. garapan seni dekat dengan hati.. menulis dengan ketajaman hati..

Penjiwa Jalanan said...

lejen lah kak fynn! pawe !

acap.BrainGrilled said...

mencalit sepalit warna lebih baik dari sebelanga ..