Thursday 22 March 2007

Kalashnikov

Image Hosted by ImageShack.us

BLURB

Ini bukan biografi yang merincikan riwayat hidup Mikhail Kalashnikov, pereka senjata AK-47 yang terkenal itu. Ini juga bukan buku yang bercerita tentang senjata ciptaannya itu. Himpunan hasil tulisan sekumpulan lelaki urban yang kegemarannya duduk bersembang di kedai kopi ini hanyalah satu lagi bentuk onani seni. Biarpun terangsang oleh realiti sosial dan politik semasa, namun kesemua kisah yang tercetak ini hanyalah fiksyen. Sebahagiannya adalah ereksi imaginasi dan/atau ejakulasi emosi. Selebihnya adalah bullshitasi. Namun fiksyen adalah fiksyen, biar apapun namanya.



REBIU

Apa kata Samurai
Kalashnikov & AK-47

Hari Ahad. Pukul 6.00 petang. Aku guna masa satu jam untuk habis baca satu buku. Itu pun termasuk masa untuk aku bangun pergi kencing, mengeliat tukar posisi badan dan distracted dengan iklan TV yang tayang model-model berwajah Pan-Asian.

Tengok tajuk dah buat aku tak paham. Apa kejadahnya 'Kalashnikov' ni? Sama seperti tajuk buku sebelum ni, 'Kudeta'. Tapi aku tak ambik pusing sangat. Macam nak pilih filem apa nak tonton di panggung, aku lebih suka tengok siapa pengarahnya. Dari situ aku dah boleh agak kualiti filem itu. Sama jugak macam buku ni. Aku tengok siapa penulis-penulisnya; Sinaganaga, Op, Amir Mukhriz, Spyz, Jigo, Vovin, Tok Rimau, Mat Jan & Bukunota.

Selepas baca prakata, sikit-sikit aku mula paham makna 'Kalashnikov'. Juga dapat tangkap relevannya gambar senapang (AK-47) dan warna merah kulit buku. Kalau dah ada senapang, mesti teringat pasal tembak-tembak, perang, rampasan kuasa, pemberontakan dan militan. Buku ini kompilasi cerpen kontot (certot) fiksyen penulis-penulis bertemakan kelakuan-kelakuan tersebut. Disamping itu ada jugak terselit beberapa cerpen kontot yang lebih kontot (certotot). Aku syak certotot ni samada nak menebalkan buku atau nak mencukupkan kuota muka surat setiap penulis.

Membaca setiap helaian dan cerita dari mula, membawa aku mengembara dalam emosi yang berbaur. Naik turun, naik turun sampai helaian ke-196. Certot dalam buku ini buat aku berfikir dan berkira-kira tentang kesudahannya. Paling syok bila ending certot ini tak seperti yg disangkakan. Aku sukakan perasaan 'ketidaksangkaan' itu. Rasa macam kena tipu pun ada.

Certot yang agak berat ceritanya, diselang-seli dengan certotot yang kebanyakan skop ceritanya keluar dari tema buku. Semacam memberi waktu senggang untuk otak aku berehat sekejap. Aku tarik balik syak wasangka aku tadi. Certotot ni memang patut ada dan kena pada tempatnya.

Certot pilihan, 1511: Resureksi (Op). Cerita tentang cubaan Sarjan Leman memberi amaran awal pada Melaka tentang Portugis.

Certotot pilihan, Perang Yang Satu Lagi (Sinaganaga). Cerita tentang Cikgu Kimia yang mulutnya bergumal ketika mengajar.

Selepas habis baca, aku rasa sedikit pelik. Kenapa setiap babak berunsur seksual dalam buku ini menyentuh tentang 'adik kecik', batang dan bijik testikal? Padahal semua penulisnya adalah lelaki-lelaki urban. Timbul syak wasangka yang baru. Aku mula rasa curiga dengan disclaimer di muka depan ini,

"Kami tidak hisap ganja dan minum arak dan seks sejenis, misalnya".

Jika kau rajin berfikir, teruja dengan thrill (tikam-menikam, tembak-menembak, darah membuak merata dan orang letupkan diri sendiri), mahukan cetusan perasaan syak wasangka yang bukan-bukan, suka dengan 'ketidaksangkaan' dalam garis cerita dan sedikit kelucahan, bacalah buku ini.

Kalau kau bukan jenis manusia yang suka atau kurang gemar dengan perkara-perkara tersebut, tak payah buang masa baca buku ini. Lebih baik kau tonton saja melodrama 'Sembilu Kasih'. Hari Ahad. Pukul 6.00 petang.

** ** ** ** ** ** ** ** ** **

Apa kata Fadz
Kalashnikov

Tajuk: Kalashnikov
Oleh: Sindiket Sol-Jah (Sinaganaga, OP, Sidi Amir Mukhriz, Jigo, Vovin, Mat Jan, Spyz, Tok
Rimau, Bukunota)
Terbitan: Sindiket Sol-Jah
Tahun: 2007

Sinopsis:
sekumpulan tulisan cerpen [atau lebih pendek lagi, serpen] oleh penulis-penulis segar lagi muda tentang bukan seorang tokoh yang mencipta sebilah senapang yang menjadi kegemaran pengganas dunia, Kalashnikov.

Rasa:
Percayalah kepada saya suatu perkara ini. Hanya apabila anda sudah baca buku ini dan menyukainya baharulah anda boleh sebut K-A-L-A-S-H-N-I-K-O-V dengan baku (anda nak sebut dalam Rusia, simpan sahajalah).

Buku ini adalah himpunan 9 orang penulis (sebenarnya, beberapa daripadanya sudah pun maklum terkenal dan berjaya mengeluarkan buku, tetapi mereka bertopeng di sini, siapa pandai cuba teka siapa) blog yang menulis karya asli mereka ke dalam suatu subjek, iaitu senapang AK-47 dan apa-apa yang melibatkan dengan senapang itu. Jangan terkejut apabila anda akan membaca sesuatu yang segar, laju, seronok, selamba dan tidak kurang juga memberi kesan.

Sebagai suatu karya asli (hasil karya dalam buku ini belum diterbitkan di mana-mana lagi) oleh penulis-penulis muda ini, mereka seharusnya diberi penghormatan dan ucapan 'syabas' kerana, daripada idea, isi sehingga ke foto gambar dan susun atur buku ini, semuanya dibuat oleh mereka sendiri (dengan konsep kulit oleh sinagangaga yang sangat memikat), sungguh berbaloi. Saya menjumpainya sewaktu saya menghadiri majlis dialog pinggir di Rumah PENA. Ada seorang lelaki veteran, apabila melihat kulit buku ini, terus mencampaknya, dan berkata, "Ceh, ini punk!"

Inilah semangat buku ini. Walaupun mungkin, saya agak 'overrate' jika saya mengatakan buku ini seasli-asli 'punk'. Sebenarnya, buku ini agak sederhana dalam keberaniannya, tetapi ia tetap memberontak dan penuh dengan idea-idea kontreversi tetapi masih suci lagi beradab.

Sebenarnya, idea penciptaan buku ini sendiri sangat menarik. Kumpulan penulis dalam buku ini cuba memperkatakan sesuatu daripada imej AK-47 di kulit luar buku. Maka, dengan kebolehan dan kemahiran masing-masing, 'Kalashnikov' menjadi barang mainan kumpulan sindiket ini untuk 'melantun', 'menyumpah', 'mensatira', 'melucah' sehingga 'menyeram'kan pembaca.

(Sidi) Amir Mukhriz ialah penulis pertama, membawa 'biskut-biskut' sebelum 'santapan utama' buku ini, membawa idea 'seks dan ganas' kepada satu tingkat lain (yang anda tak akan dapat tonton dalam filem Hollywood) dengan berseloroh, bersahaja, gelap(!) dan penuh miang sehingga ke titik akhir.

OP pula membawa dekonstruksi terhadap Kombat 1511 Faisal Tehrani (atau memang sengaja di'tribute'kan kepada penulis terkenal itu) dengan memberi idea 'occidental' boleh berlaku jika manusia tahu mengembara ke zaman lampau secara literal. Hanya akhir-akhir ceritanya, saya agak tersangkut dan tidak mendapat impak (seakan bersenggama, saya tidak mencapai klimaks) yang diingini.

Selepas itu, Sinaganaga pula menulis, dengan pelbagai rencah dan sedutan tentang peperangan dan perkara-perkara yang berkait dengan itu. Ia agak menarik (kerana Sinaganaga memang terkenal dengan 'wit' dan mainan bahasanya) tetapi para pembaca boleh tersesat dalam pengolahan warna-warninya. Ini adalah kerana, Sinaganaga lebih menembak-nembak daripada betul-betul berpegang pada satu idea atau cerita. Ideanya berterabur maka pembaca mungkin akan hilang arah tuju. Ia tidak boleh disamakan dengan avant garde atau eksperimentasi yang berjaya, tetapi bolehlah dikatakan sebagai suatu 'mainan perang' untuk mata dan minda pembaca.

Vovin pula membawa suatu pembaharuan dan antara karya yang paling serius dalam himpunan tulisan buku ini. Saya boleh katakan, penulis ini bolehlah diberi peluang 'karyawan tamu' di DBP kerana tampak cara beliau menulis, ada ciri-ciri seorang sasterawan yang berkaliber. Walaupun ceritanya agak subversif (kalau pembaca dapat menangkap beberapa objek yang diutarakan), dengan pengkahiran yang bukan biasa berlaku dalam karya tempatan (lebih-lebih lagi sastera 'Islam'), ia masih punya logik dan dan dunia yang dicipta dengan penuh sindiran dan gelap, tetapi masih memberi pembaca masa untuk bernafas dan tertawa akan mainan bahasanya.

Mat Jan pula menulis sesuatu yang membuat saya meloncat dari tempat duduk saya dan menjerit, "Padaiyappa!" Walaupun sedutan-sedutan Mat Jan tampak 'berpecah', Mat Jan memang tahu menulis, malah beliau ialah raja humor kita yang kita cari-cari. Mungkin Mat Jan tidak ada elegan, dan orang akan mengatakan beliau 'lucah', tetapi tulisannya mengingatkan saya kepada Oscar Wilde dan lawak orang British yang kotor (sila tonton Little Britain). Walaupun ia kotor, ia mempunyai makna yang sangat pedas dan menyindir. Baca sahaja sedutan awal cerpennya, rasa 'sedap' ketajaman 'wit' Mat Jan akan membuka mata anda. Seorang penulis 'cult' yang akan diingati pada masa depan.

Tulisan daripada Jigo juga memikat, dan penuh makna-makna kuat. Walaupun beberapa isu yang beliau utarakan seakan sama dengan penulis-penulis sebelum (malah sedikit pop), beliau melakukannya dengan gaya beliau yang tersendiri, walaupun ada beberapa bahagian yang dirasakan beliau boleh lagi 'menguatkan' cerita, tetapi kesantaian beliau juga ialah kekuatan beliau.

Spyz pula membawa satu penggayaan cerita yang menarik, tentang seorang 'McGyver Laden jr.' yang tak kesampaian cita-citanya. Hanya mungkin, Spyz memerlukan kekuatan olahan dan bahasa seperti Mat Jan, kerana ceritanya ada, intrignya kurang sedikit.

Tok Rimau pula sebetul-betulnya perlu menjadi penulis skrip filem. Beliau tahu apa maknanya untuk membuat pembaca ternanti dan tertipu (ada gaya mainan tragedi Shakespeare di dalamnya). Hanya saya mahu sangat Tok Rimau tidak berhenti kerana sedutan tulisannya terlalu pendek bagi saya.

Akhir sekali Bukunota yang juga menjadi 'kuih alas perut' terhadap buku ini, membawa satu alegori cerita haiwan yang separa suci separa subversif yang seangkatan dengan mahaguru Mansasau atau allahyarham Malungun. Pemilihan 'katak' sebagai satira masyarakat memberontaknya (adakah beliau sebenarnya menyatirakan penulis-penulis dalam buku ini sendiri?) kena dengan ideal katak sebagai objek 'mangsa' dalam novel-novel tempatan, baik Othman Puteh, Saharil sehingga Baha Zain.

Mungkin saya mahu lihat buku ini lebih gemuk lagi, di mana penulis-penulisnya bukan sahaja diberi kebebasan menulis, tetapi kebebasan untuk mereka 'melalut' sehingga ke beberapa halaman, kerana ada tulisan yang tampak memberi 'harapan besar' terhadap pembaca, tetapi akhirnya seakan 'cligghanger' atau anti-klimaks, dan kadang-kala memerlukan lagi isi atau jalan cerita kerana ideanya memikat. Tetapi, dengan semangat yang ditunjukkan oleh sindiket penulis buku ini, ia masih berbaloi dan seronok untuk dibaca.

** ** ** ** ** ** ** ** ** **

Apa kata Teh
Barkod Sol-Jah Tumbang Di Lidah-lidah Ka-lash-ni-kov.

Aku setuju dengan Fadz al-Akiti. Susah sangat nak sebut. Jika nama ini dibincangkan di mesyuarat strategi pemasaran, ianya pasti akan dimesin-hancurkan atau diputing-beliungkan oleh herdik bos. Pergghhhh.

Prakata seksual oleh Jigo hanyalah satu provokasi untuk aku, perempuan lokal yang gemar berpuasa, dan anda yang beriglu di Kutub Utara, anda di tepi semak bersama anak patung jiran anda, ya, juga anda yang suka menyorokkan majalah wanita telanjang di dalam kabinet bilik air. Motifnya, supaya kita cuba membeli Ka-lash-ni-kov, cuba membaca dan cuba berkeluh-kelana-duka-nestapa setelah dilebati hujan bermoral di dalam Ka-lash-ni-kov. Walaupun Sol-jah kuat mencarut, bak kata ketua turusnya, namun Ka-lash-ni-kov belum lucah. Mereka cuma sebut. Tiada hidangan terperinci.

Secara sucinya, aku beli kerana mahu kekal dalam ranking rolla kusta. Aku ikhlassssss… Pergghhhh.

Cerita historikal [1511:Resureksi] terpaksa diulang baca kerana aku hilang fokus bila tersandung Okya Cakra, Okya Tejo dan Benggali Putih. Cerebrum kiri terjentik dan aku insaf, aku lemah dalam sejarah negara sendiri.

Sememangnya jiwa akan berpetir tika membaca bait-bait kata seperti; Mangsa kau yang terakhir. Manis bak nektar. [Peluru Tak Bermata], Pengkhianatan adalah tangan ghaib [Satu Bait Pengkhianatan], Demonstran anti-Yahudi angkat Amin sebagai hero [Cerita Perang], Betapa ironisnya, bila kau tetap berada di atasku [Gonzo], Bintang di langit menyorok diam… Udara berbau hanyir… [Kunyah], … semuanya telah mati, … rangka-rangka mayat,… berulang setiap malam. [Malam itu Paedophilia Menangis], Yang tinggal hanyalah cengkerik-cengkerik musim panas [Apologi Buat Hideyoshi II].

Dalam khayalan, aku sedang menahan dua empangan air mata bila ulang baca kisah remaja mati di ruang tayar pesawat [Syahid]. Ya, mati sesat sama hina dengan hidup silap kiblat. Ruginya, Syahid yang tersilap aplikasi ayat halimunan, hilang peluang membetulkan persepsi hidupnya. Bukankah kita-kita ini ialah ibu, ayah, cikgu, kawan, jiran Syahid?

Amaran I: Tolong hiraukan kata-kata azimat di mukasurat 52.

** ** ** ** ** ** ** ** ** **

Apa kata Amyz
Kalashnikov

"Sindiket Sol-Jah ada banyak senapang" Gurau Naga pada suatu hari. Aku cuma terkekeh-kekeh gelak. Tapi aku tengok cover Kalashnikov ada satu laras senapang saja. :-p Nak teaser aku la tu.

Pertama sekali, seperti blurb di belakang buku ini menyatakan secara jelas. Buku ini tiada kena-mengena dengan Mikhail Kalashnikov, pereka senjata AK-47 walaupun, AK-47 terpampang indah di muka depan buku ini.

Buku setebal 96 laman ini memang lain dari yang lain. Bak kata Samurai, kalau kau kurang gemar membaca buku sambil membaca di antara dua garisan, kau pergi tengok Sembilu Kasih, tiap hari ahad pukul 6:00 petang. TV mana aku tidak pasti.

Bonusnya, buku ini menempatkan hasil tulisan penulis-penulis yang aku puja. Err.. Jigo, Mat Jan, TokRimau, juga Vovin. Dan lelaki-lelaki urban yang menjadi pujaan dan kesukaan ramai, Naga, Amir Mukhriz, OP, Spyz dan Nazmi. Woo! (Ceh! What a confession!)

Hasil tulisan dalam bentuk fiksi, imaginari, bullshitasi atau satu lagi bentuk onani seni (untuk kepuasan sendiri?). No wonderlah aku jumpa banyak perkataan lain untuk alat kelamin dalam buku ini. Hahaha. Aku syak mereka ini suka bermasturbasi walaupun ada antara mereka yang sudah berkahwin.

Setiap penulis menampilkan kelainan tersendiri. Aku dedikasikan kata-kata puji pada semua penulis. Bukan senang melahirkan idea. Sehingga Mulan pun terseksa melihat OP tekun menulis atau menaip. Tapi mula-mula aku nak beri 'tepukan berdiri' kepada Sindiket Sol-Jah untuk Kalashnikov. Tahniah!

Caption Bukan Perang Main-Main dan Bukan Main-Main Perang. Menepati isi kandungan buku ini. Semua berkenaan perang. Perang dengan emosi, fikiran, musuh dan diri sendiri. Aku turut rasa mahu berperang bila baca buku ini. Walaupun aku tidak boleh ambil AK-47 dan tembak orang yang buat onar dengan aku. Bila aku amat-amati. Aku teringat satu pepatah, Mata Pena lebih tajam dari Mata Pedang. Mereka gunakan senjata inilah untuk berperang. Dengan siapa, atau apa. Aku tidak boleh pastikan. Yang pasti mereka dah angkat senjata untuk berperang.

Aku suka setiap ayat-ayat sinikal dan sakarstik yang ditulis. Penulis menulis tentang apa yang difikirkan, tapi ibarat 'simbah minyak, baling api, putung rokok' pada waktu yang sama. Mungkin ada orang akan terasa bila membaca. Diorang akan cakap, "Nasiblah siapa yang terasa. Ini fiksi. Fiksi OK?? Lalalailalala.."

Yang aku suka, yang buat aku Ketawa. Naga dan Mat Jan. Oh, they never failed to make me laugh.
Yang buat aku emosi. Jigo, Vovin, OP dan Amir Mukhriz
Yang buat aku teruja. Nazmi, Spyz dan TokRimau.

Di kemuncaknya, aku tersenyum-senyum. Puas. Rugi siapa tidak mendapatkan Kalashnikov. Kalau kau mencari hiburan, bukan Kalashnikov jadi pilihan. Pergi tengok Natasya 2. Haha.

Err.. Kelopak labia? Wahahaha. Keji!

** ** ** ** ** ** ** ** ** **

Apa kata Nuraddeen
Hari Seterusnya

Dengan berbekalkan tisu, aku mula membaca. Bukan. Bukan aku baca novel jiwa yang merana. Tapi aku kan masih selsema. Kepala aku masih pening lalat ekoran penangan actifed [seperti yang dicadangkan purp]. Namun baca tetap baca. Bahagian prakata: ha, ha, ha. Memang berjiwa. Ada soul, bak kata sang pengkritik yang sudah mendogolkan kepalanya. Tapi penulisnya sedikit ngelat. mungkin itu stail terkini membuat kata-kata aluan. Kemudian bermula penceritaan penulis, seorang bakal tokoh maal hijrah. Aku sukahati. Sepanjang pembacaan aku gelak mengekek-ngekek. Cerita yang serius, tapi penggunaan ayat kelakar yang bersahaja. Penulis seterusnya, seorang lelaki penjarah masa. Aku suka cerita kembali ke zaman silam. Boleh mengubah sejarah! Kemudian aku sampai kepada penulisan lelaki urban bukan partisan. Sarjan Saunder dan garison. Oit, oit. Cikgu Cheah ke yang bunuh pelajar lelaki tu? Aku terus ke ruang lelaki latino yang buleh bercakap dengan kucing dan juga lelaki tinggi lampai yg suka minum koko ais. Oh, baru aku perasan yg grenad tuh macam bentuk deodorant. Er.. Rexona ke? Lelaki gasar dan lelaki yang buta koma & noktah. Kisah mereka berkisar politik semasa kah? Mata aku hampir terpejam. Tapi aku mesti habiskan kisah dr seorang lelaki yg gila berlari-lari dgn buku nota & pensil tumpul. Kerana kedegilaan aku, akhirnya malam semalam aku mimpi kena kencing dengan katak pisang! Boleh buta mata tau!
_
Nasib baik ada buku Kalashnikov. Boleh gak jadi satu entri. Muahahaha!! [bukan, bukan niat aku nak promosikan buku ini. sebab aku bukan pernah melepak dengan lelaki-lelaki urban di kedai kopi.]

** ** ** ** ** ** ** ** ** **

Apa kata Elle J. Hafiz
Kalashnikov

Ini buku terbitan Sindiket Sol-Jah. Saya berjumpa dengan Naga di Pesta Buku dulu dan beli terus dari dia. Sudah habis menggodeknya, dan baru ada kesempatan dan angin mahu mengulas.

Oh, perlu dinyatakan; ini adalah komentar peribadi saya dan anda berhak untuk tidak bersetuju dengannya. Tetapi dengan syarat; anda terlebih dulu perlu mendapatkan naskah ini dan baca. Kalau tidak, jangan bising!

Saya suka buku ini. Ketika membacanya - sampai habis - pada hari yang sama saya membelinya, terasa ada satu aura pada buku kecil ini. Ia perasaan yang sama saya rasakan ketika membaca buku cerpen Wilayah Kutu oleh Neohikayat Press.

Pertama, perkara yang saya suka adalah oleh kerana rekaan kulitnya yang pada saya membawa erti provokasi, ‘komunis’ dan kekirian. Ciri-ciri ini memang ada, tetapi bukanlah dari sudut faham ideologi politik. Ia lebih kepada rentangan idea melalui medium cerita pendek yang ‘kiri’ – dan tidak akan diterbitkan oleh DBP sama sekali. Itu saya pasti.

Ia erotis, bahasanya ringkas dan mungkin belum kental dan boleh juga sampai tahap memualkan – yang mana saya sukakannya. Masih terasa kelopongan di sana-sini, terutama dalam penyampaian kisah-kisah serta susun atur plot pendek yang ada. Saya bukan penulis novel atau fiksyen, jadi bolehlah dipertikaikan apa yang saya catat ini. Saya hanya memerhati dan berkompromi secara individualistik berdasarkan apa saja bahan bacaan yang pernah saya baca.

Tulisan Amir Mukhriz bagus. 'Jon, Jen dan Permata yang Hilang' paling saya minati. Saya suka tulisan ini bukan kerana saya mat porno. Tetapi ia satu deklamasi jiwa yang khayal tetapi sederhana serta sarat. Ayat ini boleh mewakili apa yang saya maksudkan;

“Malam itu, untuk membuktikan cinta, Jen buat pertama kalinya akur pada godaan dan pujuk rayu Jon, maka, Jon dan Jen jadi JonJen, mereka berJonJen sampai tak ingat dunia…”

Ini pada saya kias dalam nada dan irama baru yang sederhana dan kurang keras.

Kedua, karangan Vovin juga saya angkat. Tajuknya Gonzo. Perkataan Gonzo itu sendiri sudah membuatkan saya teruja. Pada saya, Gonzo berkenaan berkait rapat dengan satu susuk penulis yang saya kagumi, Hunter S. Thompson – tapi dia mati tembak kepada sendiri pada 2003/2004 – saya hilang ingatan untuk tarikh itu. Saya tidak tahu apa yang ada dalam kotak fikiran Vovin, tetapi aroma dalam cerpennya ada sedikit ‘bau’ susuk berkenaan – walaupun bukan secara langsung.

Banyak lagi cerita pendek yang meragut hati. Saya amat-amat menyarankannya! Saya tak berhajat untuk mengulas panjang di sini. Anda boleh ke laman Naga kerana di sana ada pautan ulasan yang lain. Boleh rujuk.

Jika anda mahu buku dengan piawai bahasa seperti yang sudah biasa disogokkan ketika mata pelajaran BM di sekolah, lupakan buku ini. Ini buku mewakili generasi muda yang baru. Ada kias sastera, tetapi dosnya dalam sukatan saintifik yang baru.

Saya setuju dengan usaha ini – menerbitkan buku secara sendiri. Bagi saya, ia satu langkah yang relevan untuk menawarkan sesuatu dari sebelah yang ‘kurang di dengari’ dan ‘hampir lenyap dalam kesunyian’. Untuk harga RM15, tak payah fikir panjang. Email Sindiket Sol-Jah dan terus beli.

Namun, saya lebih mengkagumi Wilayah Kutu. Bukan untuk membanding-bandingkan, tetapi lebih kepada penilaian ideal bagi produk bacaan yang pernah dihasilkan golongan muda Malaysia secara bebas. Saya kagum! Kedua-duanya berjaya menambat hati. Saya ingin baca dan baca lagi Kalashnikov…

-pantai dalam, 22 mei 2007@11.05pm