"Gonzo" adalah cerita pendek yang aku tulis di dalam terbitan Kalashnikov.
Gonzo juga jatuh dalam kelas cerita pendek (yang pernah diterbitkan atau bersarang dalam hard-disk komputer) yang aku suka dan puas tatkala usai menulisnya. Walau mungkin, dari kaca mata ramai karyawan, cereka nukilan ini lemah dari banyak segi. Tapi sebenarnya aku berharap lebih ramai cuba melihat lebih jauh dari itu.
Aku tergerak menulis perihal Gonzo selepas mengetahui seorang pembaca memahami apa yang cuba aku kiaskan.
Beginlah, aku ceritakan bagaimana dan kenapa aku mahu menulis Gonzo.
Ilham itu datang selepas aku mencuri-baca buku milik teman rumah aku. Buku yang aku sudah lupa tajuknya hasil karangan penulis Hunter S. Thompson. Aku menilik idea dari mindanya. Kemudian aku cuba berkenalan dengan penulis itu, menerusi maklumat-maklumat yang aku boleh dapat dari sibermaya (wahaha). Datang pula adaptasi filem dari buku Fear And Loathing In Las Vegas (buku yang aku curi baca itu bukan buku Fear... ini), dan seterusnya, aku membaca Gonzo itu sendiri.
Aku bereksperimen. Buku dan idea Hunter S. Thompson menghantui kepala otak aku. Aku melahirkan Gonzo hasil inspirasi dari beliau. Mungkin sekali Gonzo yang aku tulis bapak jauh dari idealogi Thompson, tapi seperti yang aku katakan awal tadi, cuba bereksperimen. Mungkin ada bau saduran, mungkin aku jauh tersasar dari ideanya, mungkin aku terkapai-kapai, tapi umpama mamat pereka mentol yang menghasilkan mentol selepas 1000 percubaan. Begitulah Gonzo. Ia adalah eksperimen pertama aku. Maka akan ada 999 eksperimen lagi, mungkin, sebelum aku betul-betul berjaya menulis 'cerpen'.
Sebetulnya, memang aku tidak pandai mengarang cerita pendek. Tapi setiap cereka itu aku cuba sampaikan dengan banyak lapisan makna. Selalunya lapisan makna itu tidak sampai ke otak pembaca, kerana banyak lahir dari kedunguan aku sendiri dalam hal karang-mengarang ini. Disebalik tidak hebat dalam menulis itu, aku juga ada rasa sedikit putus asa, bila kebanyakan orang tidak nampak langsung apa sebenarnya yang hendak aku sampaikan. Kecewa itu pernah datang bila ramai yang tidak tahu maksud sebenar aku tuliskan cerita Alin (Kudeta). Kecewa itu juga datang bila semua cerpen yang pernah dihantar ke satu badan ni, ditolak mentah-mentah. (Mungkin sebab memang aku tidak pandai menulis pun, hakhakhak!).
Sama juga dengan Gonzo yang aku cipta dengan banyak lapisan untuk pembaca aku fikirkan.
Tapi Gonzo, aku kira masuk dalam hal 'sudah terang lagi bersuluh'. Tambah-tambahn dengan tajuk itu sendiri sudah menceritakan dari mana idea dan falsafah itu datang.
Jadi, kepuasan yang aku dapat ialah bila si pembaca tahu apa sebenarnya yang hendak aku sampaikan.
Dalam kes Gonzo, sekurang-kurangnya ada seorang manusia, yang aku amat pasti tahu maksud sebenar kenapa Gonzo dicipta sedemikian rupa.
Memetik kata beliau, memang aroma dan bau Gonzo si Thompson itu cukup kuat aku adunkan dalam Gonzo aku. Segala sifat kecamuk, geram, anarkis, gila dan tak tenteram yang ada dalam jasad aku dicampur dan digaul.
Cuma mungkin, kalau aku seorang pembuat kek, kek itu tidak sedap dimakan disebabkan kurang ilmu dalam menghasilkan kek walau banyak bahan bombastik aku masukkan di dalamnya.
Aku akan cuba belajar lagi.
Terima kasih kepada semua yang membaca Gonzo dan Kalashnikov. Terima kasih juga kepada yang sudi membaca 'lebih jauh' setiap karya aku.
1 comment:
aku baru tau asal usul gonzo kau.
bila abis baca cerpen tu, aku teringat cerita 'taxi' robert de niro.
dan aku suka...
"u talking to me???"
Post a Comment