Penyuntingan berkeliling dan kolektif
Bagi penerbitan amatur, aku berpendapat, penyuntingan berkeliling dan kolektif amat praktikal untuk dilaksanakan. Penyuntingan berkeliling dan kolektif merujuk pada hasil tulisan satu penulis itu akan diagihkan untuk suntingan oleh setiap ahli yang lain. Misalnya, dalam Sindiket Sol-Jah yang mempunyai 10 ahli, hasil tulisan satu sol-jah itu akan disunting oleh sembilan sol-jah yang lain. Penyuntingan secara ini dapat memperkemaskan mutu tulisan dan mempercepatkan kerja pra-cetak.
Kemas dan cepat kerana, melainkan kalau penyunting itu benar-benar hebat, kerja penyuntingan kalau dibebankan pada satu individu saja pasti tidak akan mencapai tahap yang dikehendaki atau siap pada masa yang ditetapkan.
Dari satu segi, penyuntingan berkeliling dan kolektif kalau dilaksanakan bukan saja dapat memberi pengalaman kerja penyuntingan tapi dapat juga dijadikan kelas pembelajaran yang berkesan.
Ini kerana, penyuntingan cara ini dapat juga menjadi kolam perkongsian ilmu. Bagi penerbitan amatur, seseorang itu tidak mungkin tahu segala peraturan tentang sistem ejaan dan tanda bacaan. Semasa aktiviti penyuntingan inilah, mereka dapat bertukar-tukar pendapat dan berkongsi ilmu.
Kerja penyuntingan seperti inilah yang diterapkan untuk projek Kalashnikov. Dengan cara ini, ia dapat juga mengeratkan lagi Sindiket Sol-Jah kerana berjaya merealisasikan semangat 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'.
No comments:
Post a Comment