Friday, 11 May 2007

Who's the Boss?

Kepala, otak dan tulang belakang

Kalau kau tanya aku, siapa yang paling berkuasa di dalam Sindiket Sol-Jah, aku akan jawab dengan angkat bahu dan garu kepala.

Sindiket Sol-Jah ini sebenarnya agak demokratik. Setiap ahlinya boleh menjadi yang paling berkuasa. Walaupun seperti yang kita tahu, Ketua Turusnya adalah Sinaganaga tapi itu tidak bermakna ahli lain tidak berkuasa.

Setiap dari kami bebas untuk memberi idea dan cadangan. Kalau ada perbezaan pendapat, kami boleh mengundi. Itulah yang terjadi dalam kes perlantikan dua rekrut terakhir kami, Bukunota dan Samurai.

Di Sindiket Sol-Jah, kami percaya dengan pengagihan tugas. Setiap dari kami ada tugas masing-masing. Sebagai contoh, Spyz kerana kecekapannya bermain dengan angka bertanggungjawab untuk menjaga segala urusan kewangan kami. Semua ini penting supaya kami tahu aliran kewangan kami. Manalah tahu, bila duit sudah cukup banyak dan kami pun sudah bosan menerbitkan buku, kami masuk pula bidang perkapalan atau hartanah, misalnya.

Dan seperti mana-mana organisasi yang lain, Sindiket Sol-Jah juga mementingkan kerjasama dan persefahaman di antara ahli. Kami tubuhkan Sindiket Sol-Jah dan jalankan aktivitinya untuk berseronok-seronok, bukannya untuk memeningkan kepala.


Kisah di sebalik pra-penerbitan

Dalam Sindiket Sol-Jah, kami juga belajar susah senang menerbitkan buku. Ahli-ahli Sindiket Sol-Jah datang dari latar bidang kerja yang berbeza. Ada yang bekerja di bank, ada yang mengajar dan ada yang bekerja dengan syarikat IT. Cuma ada 2, 3 kerat saja yang terlibat secara langsung dalam bidang penerbitan atau kewartawanan.

Kudeta dan Kalashnikov, dua buah tangan kami itu pun mempunyai sejarah yang berlainan.

Kudeta adalah hasil lontaran Bukunota. Ketika itu Thaksin baru saja digulingkan, dan kami pun punya kemelut 'ribut dalam cawan' kami sendiri. Maka kami pun lancarkan Kudeta. Setiap dari kami ditugaskan untuk menulis mengenai 'kudeta' (rampasan kuasa) atau apa saja yang sehampir dengannya. Penyuntingan pada ketika itupun agak minima kerana ia perlu siap dicetak sebelum Rapat Umum Geng Jurnal.

Kalashnikov lahir agak senang. Kami sudah tahu apa yang perlu dibuat. Kami masih juga mengekalkan konsep yang sama; menulis koleksi cerpen yang berkongsi tema dengan tajuk buku. Penyuntingan masa itu dijalankan secara berkeliling; hasil tulisan satu penulis itu akan diagihkan untuk suntingan oleh setiap ahli yang lain. Penyuntingan secara kolektif ini dapat memperkemaskan mutu tulisan dan mempercepatkan kerja pra-cetak.

Kami juga mahu kamu tahu bahawa buku-buku di atas adalah 'collectible items'. Keduanya adalah cetakan terhad. Bermakna, jika kau membelinya dan membacanya, kau adalah di antara orang yang bertuah. Macam jam Rolex, setiap satu daripada buku itu mempunyai nombor sirinya yang tersendiri. Mungkin kau tak boleh pajakkan buku ini, tapi manalah tahu kalau kami sudah betul-betul popular nanti, harga buku itu mungkin meningkat beratus, beribu ringgit.

Buku kami sengaja diterbitkan tipis dan bersaiz kecil supaya mudah dimasukkan ke dalam poket. Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami dalam memupuk minat membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Itulah apa yang kami kata sebagai suntikan 'pop' dalam seni. Kami tak rasa kami cukup bagus atau popular, tapi cukuplah bagi kami kalau ada yang merasakan kami ini seperti buih-buih dalam air berkarbonat. Ha ha!

Okay, aku bergurau saja pasal nombor siri di buku. Tapi kalau kau mahu percaya, apa salahnya!

2 comments:

Abu Irfan said...

aku, minuman tanpa karbonat.

hhaha!

jiGOMorrison said...

Oit, apa biji komen-komen! Updetla!!

Ha ha!