Wednesday, 9 May 2007

Boys Just Wanna Have Fun

Lelaki-lelaki urban dan ribut dalam cawan

Sinaganaga, Bukunota, Jigo, Op dan Amir Mukhriz adalah sekumpulan lelaki urban yang memang gemar berkumpul dan minum-minum di kedai mamak. Kadang-kadang kami disertai Spyz, Mat Jan dan Tok Rimau. Hal yang kami perbualkan asalnya cuma berkisar kisah-kisah 'ribut dalam cawan'.

Jadi, bolehlah kalau dirumuskan bahawa Sindiket Sol-Jah ini mulanya ditubuhkan sebagai satu protes. Kepada siapa atau apa, tidak perlu dihuraikan secara terperinci. Tapi yang lebih menarik dan perlu diberi perhatian ialah ledakan yang terjadi selepas penubuhan ini.

Sindiket Sol-Jah mendapat namanya daripada salah satu entri Sinaganaga. Oleh sebab entri ini, perkataan 'sol-jah' digunakan secara meluas oleh blogger lain. Ia menjadi 'pop'. Sinaganaga merasakan kata 'sol-jah' itu sudah menjadi basahan mulut. Kemudian, dia gabungkan perkataan 'sol-jah' dengan 'sindiket', dan bermulalah Sindiket Sol-Jah sebagai satu entiti yang pop.


Imbasan semula erti kerjasama dan persefahaman

Okay, aku imbas sedikit. Dua bulan sebelum meletupnya perkataan 'sol-jah' dalam hemisfera blog melayu, akhir Mac 2006, Sinaganaga dan Tok Rimau keluarkan buku Ayah Kita Bos. Dan Mat Jan pula dengan buku kuningnya, Jongkang Jongket. Sabtu, 1 April 2006 mereka menyewa tapak gerai di Laman Seni, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur dan ajak beberapa rakan lain untuk turut serta membantu dan memeriahkan gerai itu. Sebagai reaksi atas penerbitan buku Mat Jan, Sinaganaga dan Tok Rimau, Sabotaj hasil garapan Op, Amir Mukhriz dan Jigo pun diterbitkan. Shazy membantu di meja jualan dan Spyz membantu mengawal keluar masuk kewangan.
Image Hosted by ImageShack.us


Buka lembaran baru tapi bukan mahu merampas kuasa

Melihatkan ada persefahaman di antara ahli-ahli yang masih belum terikat secara rasmi ini, Sinaganaga mengambil inisiatif untuk mengumpulkan kesemua lelaki urban ini untuk bekerja di bawah satu payung. Maka bermulalah langkah pertama Sindiket Sol-Jah dalam bidang penerbitan. Ini dimulai dengan projek Kudeta yang disepak mula oleh Bukunota (ketika itu, dia masih lagi bukan ahli Sindiket Sol-Jah). Sinaganaga kemudiannya menjemput Jigo, Op, Amir Mukhriz, Vovin supaya turut sama dalam projek pertama Sindiket Sol-Jah ini. Bukunota menulis prakatanya. Kerana dia belum lagi menjadi ahli Sindiket Sol-Jah, kami perkenalkannya sebagai Raja Boneka.

Kudeta mula dijual pada Rapat Umum Geng Jurnal. Jualannya ketika itu amat memberansangkan, hingga tidak lama selepas itu kami mengulang cetak. Kejayaan Kudeta telah melonjakkan nama Sindiket Sol-Jah hingga ada yang beranggapan kami ini kumpulan elit dari kalangan penulis-penulis blog. Terdapat beberapa ahli Geng Jurnal yang menyatakan hasrat untuk menyertai kami.

Sambutan hangat untuk Kudeta mendorong kami untuk meneruskan dengan projek seterusnya.


Projek kedua dan pengukuhan barisan soldadu

April 2007, Sindiket Sol-Jah memasarkan pula Kalashnikov. Selain Sinaganaga, Jigo, Op, Amir Mukhriz dan Vovin, ketika ini Sindiket Sol-Jah sudah pun mempunyai ahli baru iaitu Spyz, Mat Jan dan Tok Rimau. Pada masa yang sama, Bukunota sudah pun diambil sebagai rekrut. Perlantikan Bukunota awalnya tidak mendapat sokongan majoriti. Akhirnya setelah berbincang dan menimbang-nimbang pro dan kontranya, majoriti sol-jah bersetuju untuk menerima perlantikan Bukunota sebagai ahli baru dengan bersyarat. Untuk projek Kalashnikov, Jigo ditugaskan untuk menulis prakatanya.

Selepas penerbitan Kalashnikov, kami rasakan perlu menambah ahli baru. Ketika itulah beberapa kami menyenaraipendekkan ahli Geng Jurnal yang berpontensi untuk diserap ke dalam barisan. Maka, Samurai dipanggil untuk temuduga dan diambil sebagai rekrut. Seperti Bukunota, perlantikan Samurai juga adalah bersyarat.

1 comment:

jiGOMorrison said...

Wow! Sudah diedit!!

Terima kasih!!