Wednesday, 16 May 2007

MALAM BACA NASKHAH SINDIKET SOL-JAH DAN KAWAN-KAWAN YANG KITA SUKA (MASKARA)

PENGENALAN
Usul untuk mengadakan acara ini kerana kami fikir tidak banyak tempat atau majlis yang boleh disertai, untuk memberi peluang kepada penulis dan penggiat seni yang belum mapan, tidak mahu mapan, tidak dikenali, baru hendak mencipta nama, dibenci oleh penulis tersohor dan apa-apa sahaja. Ia juga bersifat sebagai mengumpul semua manusia untuk berkongsi minat yang sama. Sebagai medan pertemuan sahabat baik atau sahabat yang sudah lama tidak bertemu. Kami juga sedaya upaya menjadikan medium ini sebagai tempat neutral untuk semua bertemu. Maka majlis ini kami mahu jadikan tempat untuk penulis sastera melupakan pertelingkahan dnegan penulis pop, penulis Islamik boleh duduk satu bumbung (cuma untuk satu dua jam, itu sudah cukup baik) dengan penulis yang liberal, penulis yang tinggi egonya boleh bersalaman dengan penulis yang tiada ego langsung, penulis yang idealis tapi hanya tahu cakap sahaja bertemu dengan penulis yang betul-betul idealis.

Maka ini adalah medan untuk bersuai kenal, menjadi satu tempat di mana persahabatan dipupuk walau berlainan ideologi, pemikiran, taraf, bangsa, agama atau apa sahaja istilah yang boleh kamu namakan.

Tempat ini juga, harapnya, menjadi medan promosi diri, untuk penulis baru atau penulis lama yang menerbitkan buku baru.

Kami tidak mengharapkan majlis ini sebagai senjata utama untuk menaikkan taraf sastera dan seni negara, cukup memainkan peranan kecil untuk satu ikatan persahabatan.

MAJLIS
Maskara ini, kami fikir, mahu menjadi majlis untuk kita semua mencurahkan kreativi yang terpendam. Sebagai satu ruang berkarya. Maka kami harapkan agar ia menjadi acara yang tidak dibebankan dengan soal wang. Maka harapan kami agar orang yang datang tidak perlu membayar apa-apa wang tiket masuk dan orang seni yang membuat persembahan tidak mengharapkan apa-apa bayaran. Lagipun kami penggiat seni yang miskin. Maka dengan besar hati kami berharap agar penggiat-penggiat seni yang sudi menyertai acara ini tanpa sebarang bentuk bayaran.

Tapi penggiat seni yang hadir sebagai peserta atau penonton dialu-alukan datang mempromosi sebarang hasil kerja mereka seperti novel, antologi, lukisan, muzik atau apa sahaja. Mereka juga boleh menjualnya. Lagipun Maskara ini juga bertujuan menjadi satu tempat sesiapa yang mempunyai karya menjual hasil kerja mereka.

NEUTRAL
Seperti yang dinyatakan pada bahagian awal tadi, kami mahu menjadi satu kumpulan yang neutral. Maka dengan itu kami mahu penggiat seni yang hadir itu datang dari kumpulan dan ideologi berbeza. Datang dan beri sokong kerana kami. Maka jika si A tidak suka si B pun, maka datanglah untuk mengambil hati kami. Kalau si A mahu duduk di bucu sini, si B mahu duduk di bucu sana pun kami tidak ambil pusing. Yang penting hadir memberi sokongan kepada majlis yang kami anjurkan.

ACARA:
Menjemput penulis, penyajak, pemuzik dan orang seni muda mempersembahkan karya masing-masing di depan orang yang datang.

- Baca cerpen terbaru
- Baca sedutan novel terbaru
- Deklamasi sajak
- Bermain muzik
- Tayangan filem pendek
- Dan sebarang acara seni lain yang difikirkan bersesuaian

No comments: