Monday 18 February 2008

SOL-JAH MASUK SURAT KHABAR

"Karya fiksyen bebas dan kontemporari itu ternyata merancakkan lagi perkembangan penulisan di negara ini. Kehadiran ramai muka baru dan tidak kurang juga yang sinonim dalam penulisan cerpen kreatif berpaksikan objektif yang sama - menyemai minat membaca!

Antara nama gah mewakili kelompok Penulis Angkatan Baru dalam bidang penulisan cerpen termasuklah Ruhayat X, Saharil Senin, Jerome Kugan, Tok Rimau, Sinaganaga, Mat Jan, Dianadinari, Fadz dan Nazri M Annuar (Vovin). "

Kebangkitan Penulis Underground oleh Fairuz Zaidan. Berita Harian. Sisipan I-kon. Ms. 15. 16 Feb. 2008.

12 comments:

Tok Rimau said...

Artikel Penuh:

Kebangkitan penulis 'underground'
Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Cerpen pendek kreatif sebagai tarikan kepada ulat buku

KEBIASAANNYA sesuatu yang dianggap 'underground' atau secara tersembunyi memang payah untuk dikenali apatah lagi memasang angan-angan menjadi popular. Istilah underground sering disogok kepada mereka yang cenderung menyebarkan idealogi serta elemen karya khusus untuk kelompok individu sealiran.

Maka, tidak hairan kelompok seniman jalanan sebegini kurang mendapat perhatian disebabkan kurangnya promosi dan medium untuk menyebarkan aliran seni untuk disampaikan. Sebaliknya penggiat seni yang lebih jelas objektif hala tuju dalam karyanya mudah untuk diterima umum.



Kaitan penerimaan umum terhadap sesuatu karya itu begitu subjektif. Tidak kiralah medium yang disampaikan dalam bentuk muzik, penulisan mahupun pementasan yang jelas merungkai kepada tahap pemikiran dan penerimaan seseorang dalam menilai makna tersirat dan tersurat.

Sebagaimana penciptaan sesebuah lagu, bagaikan tidak sempurna sesuatu genre muzik itu jika tidak digandingkan secara sempurna dengan liriknya. Bahasa yang dipilih bagi melengkapi bait lirik lagu juga memainkan peranan dalam membentuk alirannya tersendiri. Jika kena pada gaya dan lenggoknya, sesuatu muzik itu secara sendirinya diterima dan seterusnya menjadi siulan ramai 'pemujanya'.

Begitu jugalah halnya karya dalam bentuk penulisan novel dan cerpen yang realitinya mempunyai jalan ceritanya yang tersendiri. Jangan tidak tahu, di sebalik kemeriahan penerbitan buku di pasaran tempatan, terdapat ruang kecil mewakili kelompok penulis angkatan baru.





Penulis angkatan baru ini boleh diumpamakan seperti penggiat seni underground lain di mana hasil karya tulisan mereka dalam bentuk novel mahupun cerita pendek (cerpen) seakan 'lubuk' yang masih belum diteroka sekali gus menjadikan karya penulisan seniman berbakat ini kurang dikenali di pasaran komersial.

Jika berkunjung ke toko buku berhampiran juga, agak mustahil untuk mendapatkan bahan bacaan mewakili kelompok seniman berbakat sedemikian memandangkan karya mereka yang lahir daripada isi hati secara terang mengekspresi suatu pandangan tanpa sempadan.

Selain menyogokkan bahasa mudah difahami, penulisan novel dan cerpen oleh penggiat seni itu begitu lantang melahirkan cetusan rasa mengikut acuan dan kehendak dipilih tanpa prejudis.

Walaupun secara realitinya kalau diselak inti pati cetusan kreatif bahan bacaan yang disampaikan seniman aliran underground sebegini sebenarnya begitu jujur disampaikan, bebas bermain kata-kata, selain menampilkan bahasa mudah difahami. Sungguh!




Sayangnya, bentuk penulisan novel dan cerpen kreatif sedemikian jarang-jarang kelihatan di pasaran buku tempatan. Toko buku walaupun menyokong penerbitan buku tempatan tetap berhati-hati mengedarkan setiap buku bagi mengelak sebarang penyebaran idealogi terlarang.

Sebab itu kalau kita lihat di kebanyakan rak buku yang memuatkan hasil penerbitan tempatan lebih cenderung dipenuhi dengan novel-novel cinta yang tebalnya sehingga 500 muka surat. Isi kandungan untuk kebanyakan novel komersial begini pula tidak lari mengagungkan janji manis cinta yang penuh fantasi. Betulkah begitu?

Mengapakah cerpen hasil karya penulis angkatan baru sukar untuk ditembusi di kedai buku tempatan? Adakah penerbitan mahupun toko buku takut untuk memasarkan hasil karya penulis kreatif berkenaan?

"Bukan mudah untuk mendapatkan publisiti untuk tujuan promosi hasil karya daripada penulis seperti kami ini. Walaupun ramai sebenarnya penulis baru berbakat tetapi mereka tiada peluang dan tidak tahu medium sepatutnya untuk mengembangkan bakat dalam bentuk penulisan," akui penulis cerpen berbakat, Sufian Abas.

Ikuti 'cerita' daripada Sufian dan kelompok insan seni sealirannya yang terus berjuang memartabatkan bahan tulisan cerpen kreatif mengikut acuan mereka sendiri.

Guna modal sendiri bukukan karya kreatif

PENDEK kata semua dilakukan mengikut acuan sendiri. Daripada jalan cerita, perkembangan watak, tajuk buku, pemilihan reka bentuk kulit muka depan cerpen hinggalah kepada sumber modal bagi menerbitkan sesebuah cerpen fiksyen.

Begitulah senario dilalui kebanyakan penulis cerpen aliran kontemporari yang melakukan hampir kesemuanya termasuklah pemasaran selepas buku berjaya diterbitkan. Nampak seakan payah kerana terpaksa melakukan hampir kesemua kerja rumit tetapi itu semua dilakukan dengan bersebab.

Seperti juga penulis cerpen Sufian Abas, 36, yang tidak terkecuali melakukan semua kerja-kerja teknikal termasuklah mencari modal sendiri, melakukan kerja penyuntingan sehinggalah idea untuk kulit muka depan cerpen yang akhirnya memberi kepuasan tersendiri buatnya.

Berbanding kebanyakan penulis novel komersial di pasaran yang sememangnya mudah mendapat peruntukan dari segi suntikan modal dan medium untuk menerbitkan hasil karya mereka, tetapi realitinya hasil kerja mereka masih lagi terbatas oleh garis panduan dan kemahuan syarikat penerbitan.

Mengulas lanjut senario itu, Sufian berpendapat yang penulis novel komersial tidak bebas sepenuhnya dalam menzahirkan seratus peratus kehendaknya terutama dari segi pemilihan reka bentuk kulit muka novel.

"Sebab itu, kebanyakan penulis cerpen kreatif yang semakin berkembang ini tidak kisah untuk membelanjakan sendiri wang termasuk mencari modal sendiri semata-mata bagi memastikan hasil karya mereka benar-benar menepati cita rasa yang sepatutnya.

"Malah, ada juga cerpen yang menghimpunkan ramai penulis dengan hasil karya masing-masing di mana dalam satu-satu buku itu menghimpunkan banyak cerita pendek mengikut gaya penulisan berbeza," kata Sufian yang ditemui di sebuah toko buku, Silverfishbook di Bangsar Kuala Lumpur.

Beliau yang tampil dengan karya terbarunya, Kasut Biru Rubina berupa himpunan cerpen pendek untuk bahan bacaan santai adalah antara penulis cerpen angkatan baru yang memperjuangkan genre penulisan tersendiri dan bebas mengikut kata hati, pendapat dan kreativiti.

Karya fiksyen bebas dan kontemporari itu ternyata merancakkan lagi perkembangan penulisan di negara ini. Kehadiran ramai muka baru dan tidak kurang juga yang sinonim dalam penulisan cerpen kreatif berpaksikan objektif yang sama - menyemai minat membaca!

Antara nama gah mewakili kelompok penulis angkatan baru dalam bidang penulisan cerpen termasuklah Ruhayat X, Saharil Senin, Jerome Kugan, Tok Rimau, Sinaga Naga, Mat Jan, Dianadinari, Fadz dan Nazri M Annuar (Vovin).

Malah sesetengah penulis ini juga kalau terkenal dalam penghasilan skrip drama dan filem sebagaimana Ruhayat X sendiri yang terbabit sebagai penulis dan lakon layar bagi drama Sadiq & Co, Gol & Gincu dan filem Histeria serta menjadi penerbit bagi projek buku Wilayah Kutu, Projek Elarti dan yang bakal menyusul, Aweks KL.

Bercerita lanjut pembabitannya dalam bidang itu, Sufian berkata dia memulakan bidang penulisan cerpen kreatif pada 2001 dengan karya antologi Silverfish New Writing 1 yang diedit oleh Amir Muhammad. Sufian jelas tidak puas bermain ayat dalam penulisan berbahasa Inggeris dan bertindak beralih ke penulisan cerpen bahasa Melayu.

Buktinya hasil karyanya diterbitkan di dalam naskhah pinggiran seperti Wilayah Kutu dan Projek Elarti (sebuah majalah sosio-sastera santai).

"Bagaimanapun, penulisan ini bukanlah kerjaya sepenuh masa yang saya lakukan kerana sejak dulu lagi saya terbabit dalam

kerja-kerja penterjemahan untuk drama televisyen dan kartun.

"Apa yang membuatkan saya teruja untuk berkarya dalam penulisan adalah selepas melihat sendiri teman-teman seangkatan dengan hasil karya masing-masing," akui Sufian yang meminati hasil karya penulis antarabangsa. Jorge Luis Borges dan Jose Saramago yang berbangsa Portugis.

Dalam pada itu, Sufian masih mengharapkan penulis seangkatannya yang memperjuangkan idealogi dan penulisan cerpen kreatif mendapat lebih banyak ruang dan peluang untuk menterjemah hasil karya di pasaran tempatan. Peluang sedemikian, bukan saja membantu merancakkan lagi industri penerbitan buku dan bahan bacaan, malah membantu menyemai tabiat suka membaca.

Bagi mereka yang inginkan suatu berlainan sebagai sumber bacaan santai serta tercari-cari koleksi cerita pendek, apa kata mendapatkan antologi cerpen pertama hasil karya Sufian, Kasut Biru Rubina: Koleksi Fiksyen Pop Untuk Jiwa2 Hadhari yang dilancarkan jam 8 malam ini di Annexe Pasar Seni Kuala Lumpur.

Hari pelancaran itu juga menyaksikan buku itu dijual pada harga RM10 berbanding harga biasa RM15.

Selain himpunan cerita pendek Sufian itu, buku lain yang turut dilancarkan ialah New Malaysian Essays oleh Amir Muhammad dan The Old House and Other Stories yang ditulis oleh Chuah Guat Eng.

Kasut Biru Rubina: Koleksi Fiksyen Pop Untuk Jiwa2 Hadhari

MENGHIMPUNKAN sebanyak 37 cerpen pendek, Kasut Biru Rubina adalah sebuah himpunan cerpen pop berbahasa Melayu. Diilhamkan dari konsep sastera pakai buang (disposable literature) yang dipelopori penulis kelahiran Vienna, Herman Broch, buku itu diharapkan mampu menghiburkan pembaca yang inginkan kelainan dari segi isi kandungan.

Antara judul cerita pendek yang dimuatkan di dalam cerpen itu adalah Telefon, Malam Ini Malaikat Tidur, Melah & Jusuh, Ohh! Jimi, Jaafar Mahu Menari, Melah Masuk Ooniversiti, Berlumpur Dalam Blues, 3 Elarti Ke Kelana Jaya, Tak Nak! dan Kasut Biru Rubina.

Judul Buku: Kasut Biru Rubina (Koleksi Fiksyen Pop Untuk Jiwa2 Hadhari)

Harga: RM15

Ketebalan: 96 muka surat

Anonymous said...

nama gah ok, nama gah.

soljah yang namanya tidak disebut, sila bunuh diri.

Pipiyapong Abdillah Hamzah said...

hehe bunuh diri??baik bunuh nama nama tersenarai..

sinaganaga said...

Sol-Jahs yang namanya tidak disebut, sila bunuh diri, kalau tak ada pistol - meh amek kat aku. Ha ha.

Izzah said...

dah lama mencari tentang anda semua:)

sinaganaga said...

Izzah,
Selamat datang!

Pipiyapong Abdillah Hamzah said...

izzah..dengar ni 'abang' nak cakap..,
selamat datang..

Tok Rimau said...

Yang penting Tok R adalah nama Soljah yg pertama disebut.

Lily Abdullah said...

hu..hu..hu..eksen sungguh Tok R itu. Aku tumpang bangga(campur jelessss!!!)

Amyz! said...

Tahniah!!!!

OP Zaharin said...

jigo jadi ketua misi membunuh nama soljah yang gah itu.

Jef Hadi said...

kekadang.
rasa menyesal pulak aku tak beli surat khabar b.melayu ni(macamlah aku beli surat khabar lain kan).