Saturday 30 January 2010

BERCAKAP DENGAN ANA RAFFALI II


Hampir genap setahun kemunculan Ana Raffali di Maskara. Ana akan muncul lagi di pentas Maskara 6 Feb 2010. Sayang betul Ana dengan Sol-jah.

Q1. Ana sudah banyak membuat persembahan di pentas-pentas indie dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Apakah keunikan pentas indie Maskara berbanding dengan yang lain?
Saya kembali ke Maskara sebab saya suka kumpulan sasarannya, audiens yang mendengar dan menghargai. Saya suka atmosfera di Maskara yang cukup intim dan personal, seolah-olah kita sudah lama kenal, dan yang hadir semua kawan-kawan kita. Geng sindiket berjaya merapatkan kita semua di bawah payung seni. ;)

Q2. Ana telah beberapa kali muncul di corong radio, kaca TV dan dada akhbar. Jika ada sindiran yang mengatakan Ana sudah "sell out to the corporate devil by joining the mainstream," apakah jawapan Ana?
Orang boleh kata apa yang mereka mahu. Saya tak boleh halang. Muzik bagi saya tak perlu ada batasan atau jurang atau label yang diberikan orang untuk membeza-bezakan perjuangan muzik kita. Pentingkah label mainstream/underground itu untuk menilai lagu-lagu dan karya-karya yang bagus? Kita tak perlu bias atau prejudis dalam soal ini. Lagu yang sedap memang lagu yang sedap di dengar, tak kira dimana ia bermula dan berakhir. Matlamat saya ialah membawakan lagu-lagu yang sedap supaya menjadi santapan segenap rakyat malaysia, tak kira status atau lokasi. Tinggi cita-citanya saya tahu, tapi saya tetap akan cuba.

Q3. Nama Ana Raffali makin dikenali ramai. Peminat semakin ramai. Adakah populariti ini serba sedikit menyekat kebebasan atau membawa masalah baru dalam kehidupan? Sudah ada stalker?
Hahaha.. setakat ni takde (dan saya harap takkan ada) orang yang tak dikenali menunggu saya depan rumah. Lumrah kehidupan dalam dunia hiburan orang kata. Di masa hadapan, ia mungkin akan menjadi antara pergorbanan saya setelah menceburkan diri dalam bidang ini. Tapi saya terima seadanya, kepuasan berkarya untuk dikongsi dengan orang ramai memang berbaloi.

Q4. Ilmu muzik ini luas. Sebagai pemuzik, Ana perlu sentiasa menimba ilmu dan pengalaman baru bagi memantapkan kualiti hasil ciptaan dan persembahan. Apakah cara yang Ana amalkan agar pembelajaran dalam bidang seni ini berterusan?
Saya suka membaca dan mencari jawapan bagi apa-apa persoalan yang timbul. Segala yang bermakna dalam hidup ini saya fikir sudahpun tertulis atau cuba dikongsi oleh orang terdahulu, jadi tugas saya ialah membacanya. Saya juga banyak bertanya dengan mereka yang berpengalaman, terutamanya dengan bos saya, Aidit Alfian. Beliau bertindak sebagai tukang tunjuk ajar dan juga selaku pakar motivasi. Selebihnya saya tengok di YouTube.

Ana di Maskara. Foto arkib- Blog Nordin.

Q5. Kelas muzik di sekolah adalah meniup recorder. Itupun kelas itu selalu dibatalkan bagi memberi laluan kepada subjek yang ada masuk peperiksaan UPSR. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman Ana sendiri, bagaimanakah sistem pendidikan Malaysia dapat mengasah bakat muzik muda dengan kaedah yang lebih baik agar negara dapat melahirkan pemuzik yang bertaraf dunia?
Saya masih ingat sesi belajar rekoder dalam kelas muzik di sekolah rendah, tapi tak kemana pun. Kalau tak tentu saya sudah bergelar pemain rekoder ternama di malaysia. ;p Sayang sekali pendidikan muzik di sekolah rendah secara umumnya tidak dititikberatkan oleh kementerian. Mungkin ia dilihat sebagai satu aktiviti masa lapang yang tak menjanjikan apa-apa pulangan yang lumayan sebagai satu karier. Dan kanak-kanak yang berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik, rata-ratanya mempunyai ibu-bapa yang berkemampuan dan turut mempunyai minat terhadap muzik. Jadi, apa kata kita sediakan sekolah khas untuk kanak-kanak belajar muzik dan mengasah bakat mereka dari kecil. Sekolah projek. Tentu ia bakal menghasilkan pemuzik yang membesar dengan muzik.


Q6. Kita bisa merancang tapi Tuhan yang menentukan. Apakah projek-projek seni Ana sekitar tahun 2010 -2011?
Album. InsyaAllah akan siap tak lama lagi. Saya juga berharap dapat merantau ke setiap negeri di Malaysia untuk mempromosikan album dan mengumpul lagu-lagu baru. Saya harap dapat menghasilkan video-video muzik yang berkualiti agar semua orang terhibur secara visualnya ketika mengunjungi pusat karaoke terdekat dengan kawan-kawan. Selebihnya, mari kita lihat siapa yang kena!

Q7. Ada yang cadangkan tanya Ana soalan terjah, "Bila nak kahwin?" untuk soalan akhir ni. Tapi sensasi tak bertempat dan klise media tempatan sangat la pulak. Jadinya soalan akhir,
Ana tentu mempunyai beberapa alat muzik yang Ana sayang dan mungkin juga setiap satu Ana bagi nama manja tersendiri. Bagaimanakah Ana menyimpan dan menjaga alat-alat ini agar tidak rosak?

Dengan baik. Untuk gitar-gitar saya (Woodie dan Trippie), saya pastikan mereka sentiasa berada di kawasan yang tak terlalu panas dan tak terlalu sejuk. Peringatan kepada mereka yang memiliki gitar akustik, jangan sesekali tinggalkan gitar anda di dalam kereta ketika panas terik, haba boleh merosakkan kayu menjadikan ia melengkung. Saya juga menyapukan "lemon oil" di fingerboard dan bridge serta membersihkannya dengan kain, setiap kali menukar tali baru. Itu kerja-kerja maintenance. Sayangilah gitar anda.


.....
p.s.
Bang,
Berangan mahu jadi gitar ke?

1 comment:

Syamsulfaiz said...

Hmmm aku cuba decipher jawapan No. 7, macam tak berjawap je. Ke ada maksud berselirat ni?

Anyway I wish I was there to see this talented artist.