Wednesday 27 August 2008

Cerpen Sedap

Siapa tulis cerpen Raja Sembur dalam Utusan ini? Sungguh sedap...

RAJA SEMBUR

TIDAK. Tidak seorang pun percaya berita tersebar itu. Berita yang dijerit-jeritkan itu. Mula-mula disebarkan oleh budak-budak. Mereka berkeliling kampung sambil menjerit-jerit mengkhabarkan berita gempar itu. Kemudian, budak-budak muda. Dan kemudian, orang dewasa pula.

“Betulkah Mat?”

“Betul, Pak Usop. Saya dengar sendiri.”

“Engkau dengar daripada siapa?”

“Daripada siapa lagi, Brahimlah.”

“His, aku tak percaya.”

“Brahim telefon. Dia ada dalam majlis sambut Raja Sembur.”

Memang Pak Usop tidak percaya. Tidak masuk akal langsung. Bukan Pak Usop saja. Pak Maun, Pak Aziz, Makcik Timah, Kak Sal, Abang Sudin pun tidak percaya.

Esoknya, berita yang dijerit-jeritkan itu. Berita yang sukar dipercayai itu tersiar dalam surat khabar. Riuh orang sekampung. Habis licin surat khabar dibeli orang. Kak Sal, Abang Sudin, malah Pak Usop yang tidak tahu baca pun beli surat khabar juga. Semuanya kerana berita gempar itu. Berita yang sukar dipercayai itu kini menjadi juadah mulut dan telinga. Di kedai-kedai kopi, di halaman rumah di bawah pohon beringin, malah di sekolah pun orang bercakap fasal Raja Sembur.

Selanjutnya...