Gambar dari Facebook: Para Jamaludin dan Nisha Ismail sedang jual mahal dengan penulis |
Saya telah potong sebiji limau nipis dengan keris lok tujuh, titikkan air limau ke dalam mangkuk berisi air tujuh sungai. Kemudian, saya seru semangat Para dan Nisha untuk masuk ke dalam pembantu saya, Wak Pesbuk dan Pak Waiyem. Serta merta, kedua-duanya bertukar bersuara lunak. Duduk pun bersimpuh elok bagai gadis Melayu yang sopan. Saya pun mula bertanya:
SJ. Untuk orang yang tidak mengenali, siapakan Nisha dan Para?
PJ: Para Jamaludin, perempuan, pelajar, penulis blog, puisi.
NI: Nisha Ismail, pelajar, menulis puisi dan cerita pendek, mendengar lagu-lagu Normadiah.
Mereka jawab terus kepada isi penting. Tiada basa-basi.
SJ. Apakah perbezaan dan persamaan ketara Nisha dan Para?
PJ: Bezanya diameter badan.(haha) Samanya muka kot. Entah, tudung? ke mcmna? entah2. rasanya soalan ni org ramai yang kena jawab kot
NI: tentang beza, suara Para sedap. suara Nisha, pehhh! bernanah telinga. tentang persamaan, ramai tegur muka kami sama. kadang-kadang kalau tengok gambar sendiri pun keliru, kusangkakan Para, rupanya muka sendiri.
Walaupun kedua-duanya mahir linguistik, mereka gemar buat kesilapan bahasa dan ejaan. Ye lah, orang yang tahu selok belok undang-undang la yang boleh manipulasi undang-undang. Untuk mengekalkan ketulenan, saya tidak menyunting temubual ini.
SJ. Apakah isu-isu pokok yang sering timbul dalam karya kalian?
PJ: tak pernah ambil pokok sebagai isu tetapi cinta. =) perempuan juga ada. pudu mall belum lagi. insyaallah.
NI: cinta, lelaki, perempuan. tentang tumbuh-tumbuhan belum sampai lagi.
PJ dan NI memandang satu sama lain. Tersengeh.
SJ. Jika kalian boleh memilih, apakah kerjaya yang kalian mahu lakukan?
PJ: saya nak jadi fotografer tp x reti. dan kitorg dlu ade plan nak bukak biz sekali. ini angan2 masa cikgu lambat masuk kelas waktu tingkatan lima. =)
NI: Nisha nak jadi pelakon teater. hah hah. kalau ada rezeki, insyaAllah nanti Nisha dan Para jemput Soljah waktu hari perasmian butik pengantin yang kami rancang nak buka. rancang masa tingkatan 4 ke 5 entah. :)
PJ menepuk bahu NI. NI pun membalas. Mereka ketawa serentak. Seekor lipas terbang dan hinggap di dinding.
SJ. Apakah projek-projek seni yang telah melibatkan Nisha dan Para?
PJ & NI: zine 3 kuntum, zine sampah karat III, maskara(soon, 3 july). yang lain2 takat pegi tengok2 je
Mereka bercakap serentak. Sepertinya masing-masing boleh membaca fikiran yang satu lagi.
SJ. Apakah perancangan projek-projek seni mendatang sekitar 2010?
PJ: zine 3 kuntum II, dan more puisi untuk zine baru. setakat ni la.
NI: sedang kumpul material untuk zine 3 Kuntum II, terus menulis di blog puisi dan cerita pendek.
Tiba-tiba kucing belaan saya, Tompok, masuk ikut tingkap. Dia melihat lipas yang merayap di dinding. PJ dan NI melihat Tompok. Mereka tersenyum, PJ meletak siku kiri di bahu NI menunjukkan dia lebih tinggi, dan NI pula memegang tangan PJ. Mesra. Inilah dua kawan sejati. BFF!
SJ. Sebagai satu pasukan, pernahkah kalian bertelagah?
PJ: ada, tapi kami berbincang. bukan bertelagah. tak ingat apa tapi setakat 10 tahun ni ok saja =)
NI: bertelagah itu biasalah. masing-masing ada idea sendiri. 10 tahun kenal, sekarang benda yang tak puas hati pun dah boleh jadi bahan gelak. :)
Gedegang. Mangkuk air telungkup. Tompok mengejar lipas dan terlanggar mangkuk itu. Serta merta PJ dan NI hilang. Yang tinggal adalah Wak Pesbuk dan Pak Waiyem. Mereka lekas-lekas meleraikan tangan masing-masing dan segera berlagak macho.
Tidak mengapa, kita dapat butir-butir penting. Selebihnya, boleh jumpa mereka di Maskara nanti. 3 Julai 2010.
1 comment:
ya Allah. siapa la...
Post a Comment