Monday, 27 July 2009

Bercakap dengan Saudagar Garam



SS: Siapa Saudagar Garam?

SG: Errr....anak sulung kepada En. Badarudin dan Puan Salmah, lelaki, pelajar senibina dan SAYA [angkat tangan tinggi-tinggi]

SS: Kenapa Saudagar Garam?

SG: Emmm. Adapun gua bukanlah peniaga kedai runcit. Asal gua guna nama saudagar garam ni sebenarnya pasal kawan-kawan gua. Diorang kata gua taste macam orang tua. Nak tutup mulut depa, gua cakap gua lebih dulu makan garam. Jadi, nampak “garam” tu jadi satu tanda matang pada kami. Terus depa bahankan gua bila gua cakap pasal garam, pasal mati cepat, dan segala apa macam lagi ntah. So timbullah nama Saudagar Garam. Macam sumber kematangan kot lebih kurang.

SS: Kenapa bukan Saudagar Gula atau Saudagar Kunyit atau Saudagar Bawang?

SG: Kenapa garam? Pernah dengar tak orang tua tua cakap, “aku dah lebih dulu makan gula dari kau.” Tak pernah kan? Atau “aku lebih dulu makan kunyit dari kau.” Pun belum ada lagi rasanya. Yang ada cuma aku lebih dulu makan garam dari kau. Kan kan kan? Hahahahaha.

SS: Sejak bila Saudagar Garam menulis blog dan apa nama blog anda?

SG: Dari tahun 2002 lagi gua baca blog orang. Gua mula menulis satu hari lepas sambutan kemerdekaan pada tahun 2007. Tepatnya pada 1 September 2007. Masa malam merdeka gua duduk rumah sewa, tak ada buat apa. Lepak baca blog dan entah macammana gua pun terasa nak buat blog. Jadi paginya, gua pun terjah sana sini. Terus jadi blog gua. Maka lahirlah “bloguntukaku.blogspot.com”

SS: Apa isu-isu yang sering menjadi topik kegemaran Saudagar Garam dalam bila menulis blog?

SG: Politik. Kisah cinta artis. Kisah ekonomi dan masak masak. Ok. Itu tipu. Gua menulis tentang apa juga yang gua mahu kongsi. Pengalaman, pandangan dan apa juga. Gua cuba dramakan pandangan dan pengalaman gua dengan tujuan ia tak nampak macam kaku. Dan seronok diceritakan. Dan gua suka buat orang senyum.

SS: Siapa Baharum dalam hidup Saudagar Garam? Nama dia selalu disebut-sebut dalam Blog Untuk Aku, Kau dan Dia.

SG: Owh. Baharum. Mamat ni housemate gua masa gua belajar kat Perak dulu. Tak pernah gagal buat gua sakit hati. Seorang yang cukup minimalis. Dia pernah pakai kasut sebelah Adidas dan sebelah lagi Nike. Bila gua marah dia, dia cuma cakap kasut hanyalah berfungsi sebagai alas kaki. Tak lebih dari itu. Jadi, selagi kasut tu mampu menjalankan tugasnya, benda lain tak penting. Gila, kan?

SS: Pendapat Saudagar Garam tentang MASKARA?

SG: MASKARA. Yang buat gua tertarik event MASKARA ni, ia terbuka. Santai. Siapa-siapa mahu tonjol diri pun boleh. Itu yang bestnya. Tak rasa macam diadili. Jadi bila ada benda begini, khalayak yang tak ada big name macam gua pun boleh naik pentas. Tak payah rasa malu nak diadili. Paling kuat pun orang kutuk. Tapi, apa ada hal, macam gua tak boleh kutuk depa balik kan? Terbuka. Itu yang menariknya.

SS: Saudagar Garam fikir adakah MASKARA dapat membantu mereka yang baru berjinak-jinak dengan seni dan sastera?

SG: Yup. Sebagai platform awal. Bukan mudah nak terus terjah kan? Jadi sekurang-kurangnya dengan ada MASKARA ni, adalah juga ruang untuk yang kerdil macam gua ni nak tonjol diri sikit-sikit kan?

SS: Berapa kali Saudagar Garam hadir ke MASKARA sampai ada keberanian untuk turut serta buat persembahan pula?

SG: Empat. MASKARA 9, SHORTIES, MASKARA 12 dan MASKARA 13. First time gua datang adalah MASKARA 9 dengan Attoch. Sampai sesat nak naik Genting masa tu. Gua datang pun dok tutup muka tepi pintu. Pemalu. Masa MASKARA 12, gua ada rasa macam nak ambik slot kalau ada open mic. Tapi masa tu tak ada. Jadi, ini ar first try gua dalam MASKARA.

SS: Dengar-dengarnya Saudagar Garam 'peminat susah mati' pasukan Tottenham Hotspur. Kenapa bukan 'pasukan besar empat' - MU, Liverpool, Arsenal atau Chelsea?

SG: Big Four? Macammana gua nak suka? Drogba asyik berlakon. Liverpool pakai baju Carslberg. Gua benci Ronaldo. Dah ar MU beli player utama gua. Arsenal pulak. Hmmm. Arsenal kenapa ek? Aaa...pasal Pipiyapong dah sokong. Hahahahhaha [kang ada gua kena marah dengan geng meriam].

SS: Terima kasih untuk masa anda!

SG: Terima kasih kembali.

Friday, 24 July 2009

Bercakap dengan Wani Ardy


SS: Siapakah Wani Ardy pada pendapat anda?

WA: Seorang cikgu dan tukang karut.

SS: Apakah jenis dan jenama gitar-gitar yang anda miliki sekarang?

WA: Aria (classical) dan Morgan (acoustic). Soalan ini [kepada] salah orang sebenarnya. Kalau saya Ana [Raffali], sedap sedikit nak menjawab.

SS: Siapakah penyanyi dan pemain gitar perempuan yang menjadi idola anda?


WA: Lisa Loeb, Marketa Irglova, Marit Larsen, Meiko, Shawn Colvin, eh banyaklah! Kalau tempatan, saya paling suka Mia Palencia dan Mei Chern.

SS: Menurut Aristotle, muzik adalah terapi rekreatif, sesuatu yang mampu mendamaikan hati, dan sesuatu yang boleh membina serta mempertingkatkan semangat patriotisme. Apakah interpretasi muzik menurut anda dan apakah definisi muzik anda?

WA: Saya tak belajar muzik secara formal jadi saya tak tahu definisi yang pasti. Yang saya tahu, muzik itu bunyi. Nak kata bunyi yang sedap pun tak boleh, sebab definisi sedap itu subjektif pada individu. Pendekkan cerita, saya tahu menulis dan mengomel melodi saja.

SS: Muzik adalah bahasa universal. Menciptanya dan mempersembahkanya adalah suatu cabang seni. Mendengarnya adalah suatu bentuk hiburan. Manakala mempelajarinya dan memahaminya adalah suatu jenis bidang/disiplin. Bagaimana anda melihat muzik anda berperanan kepada diri sendiri mahupun kepada khalayak banyak?

WA: Berkarya adalah terapi bagi diri saya. Kalau khalayak suka, alhamdulillah. Hati saya kembang. Kalau tak suka, tak apa. Saya buat juga. Sebab asalnya memang untuk memuaskan nafsu sendiri.

SS: Jika anda diberi pilihan untuk memilih satu di antara tiga: Sham Kamikaze Signature Stratocaster, Gibson Acoustic Sheryl Crow Signature Guitar, atau Fender Acoustic-Electric Buddy Miller Signature Guitar. Yang mana satu yang akan anda peluk dan bawa pulang?

WA: Mestilah Sheryl Gagak.

SS: Panjang yang saya tanya - pendek 'ja yang awak jawab.

WA: Itu memang diri saya. :)

SS: Terima kasih.


WA: [Tak jawab.]

SS: Helo! Cikgu Wani! Cikgu Wani!!!!? Helo, helo! Helo?

WA: [Tak jawab.]

SS: Aaa, dah boleh bagi CPR ke ni, geng?

Tuesday, 21 July 2009

Bercakap dengan Danielle Corleone


SS: Seorang Danielle Corleone pada pandangan lu?

DC: Danielle Corleone adalah seorang lelaki muda yang suka berkhayal, sukakan perkara yang halus-halus, suka meletakkan diri pada tempat yang tidak sepatutnya, lebih dahulu memikirkan tentang bahaya sebelum memikirkan tentang selamat. Takut kepada ketinggian, air, dan tempat-tempat sempit… hah, itulah gua, Danielle Corleone.

SS: Betul ke lu adik MatJan? Ha ha.

DC: Ceh! Tak betul!

SS: Dari mana lu dapat tahu tentang Maskara?

DC: Dari Aida. Dia emel gua. Gua beritahu dia yang gua nak pergi ‘cover’ acara tu. Sudahnya, sampai sekarang gua jadi wartawan upahan kepada Sindiket Sol-Jah. Ha ha!

SS: Lu wartawankan?

DC: Ya! Gua wartawan!

SS: Sebagai wartawan, bagaimana lu melihat aktiviti-aktiviti seni dan sastera yang tumbuh macam cendawan selepas hujan sejak akhir-akhir ini? Apakah ini akan menimbulkan rasa muak di hati khalayak atau sewajarnya senario ini dibiarkan wujud bertindan-tindan?

DC: Bagi gua, perkara ini satu aktiviti sihat. Cuma, gua tak nak ada yang buat aktiviti-aktiviti sebegini kerana mengikut trend sahaja. Benda-benda macam ni atau perkara-perkara macam ni, kalau nak buat biar kerana selera dan minat kita untuk mengembangkan seni dan sastera. Khalayak tidak akan merasa muak kalau kita mampu menerapkan idea [persembahan] yang lebih segar kepada aktiviti-aktiviti seperti ini dan secara tidak langsung ia akan mendekatkan lagi seni dan sastera kepada umum. Itu yang penting sekali!

Dan, gua harap, apabila ada lebih banyak aktiviti-aktiviti seperti ini, maka ia akan memberi lebih banyak faedah kepada orang ramai. Kerana, lebih banyak kelainan yang dibawakannya maka akan lebih pelbagai ilmu yang akan kita cerap.

SS: Lu ‘tak nak’ atau ‘lu harap tak akan ada' aktiviti seni dan sastera ini dibuat kerana mengikut trend?


DC: Bukan gua tak nak atau tak mahu, cuma gua lihat aktiviti-aktiviti seni dan sastera yang dibuat mengikut trend ni tak akan konsisten. Iyalah, trend biasanya berubah-ubah mengikut masa, mengikut perkembangan, mengikut persekitaran… gua tak mahu aktiviti-aktiviti seni dan sastera tu jadi macam tu! Seni dan sastera sepatutnya hidup sampai bila-bila!

Gua tak nak orang buat aktiviti-aktiviti seni dan sastera sebab trend sekarang orang buat aktiviti-aktiviti seni dan sastera. Macam orang jual keropok lekor sebab trend sekarang ni orang jual keropok lekor atau orang jual tudung Ikin sebab trend sekarang ni orang jual tudung Ikin. Buat aktiviti-aktiviti seni dan sastera ni kerana minat - bukan kerana terikut-ikut.

SS: Lu rasa akitiviti-aktiviti seni dan sastera hari ini terikut-ikut?

DC: Gua tak rasa macamm tu, tapi gua harap ia tak akan jadi macam itu.

SS: Makanya, lu nak kata, aktiviti-aktiviti yang terkemudian daripada aktiviti-aktiviti seumpamanya yang terawal seperti Baca Puisi PENA, Reading@Seksan, Malam Baca Naskhah Sindiket Sol-Jah dan Kawan-kawan Yang Kita Suka, Kata-Suara adalah kerana ikut-ikutan atau mengikut trend?

DC: Gua tak kata macam tu! Berbalik kepada jawapan gua sebelum ini, gua cuma kata yang gua harap tak akan ada aktiviti-aktiviti seni dan sastera dibuat kerana mengikut trend atau terikut-ikut semata-mata. Setakat hari ni gua lihat aktiviti-aktiviti yang dibuat semuanya dijalankan oleh orang-orang yang betul-betul berminat dengan seni dan sastera.

SS: Pada pandangan lu, karyawan-karyawan yang mempersembahkan karya mereka untuk aktiviti-aktiviti ini sepatutnya dibayar sama seperti seorang penyanyi pop?


DC: Mmm, itu bergantung kepada keupayaan penganjur dan budi bicara karyawan.

SS: Pada pendapat lu, bagaimana dengan penerimaan penulis-penulis mapan terhadap penulis-penulis baru seperti lu?

DC: Gua anggap penerimaan mereka sangat positif dan golongan baru juga perlu lebih merasa berbangga untuk meminta golongan penulis terdahulu memberikan komen atau sebarang pandangan berkenaan karya kita.

SS: Kalau lu diberi kuasa untuk memilih di antara bantal, tilam atau selimut.. yang mana satu yang akan lu peluk dan bawa pulang? Dan, berikan alasan mengapa lu pilih benda tersebut!

DC: Gua pilih bantal. Sebab bantal boleh di bawa pergi ke mana-mana; senang gua nak rileks. Bantal juga boleh jadi tilam, boleh jadi selimut. Jadi, gua pilih bantal!

SS: Terima kasih!

DC: Sama-sama!

Friday, 10 July 2009

PANGGILAN PENYERTAAN!!! - MASKARA SHORTIES KEMBALI


Jika tidak kiamat, bencana alam, rampasan kuasa, penaklukan makhluk asing, serangan kaum zombie, bakal berlangsung pada 3 Oktober 2009


Berikut adalah peraturan penyertaan:

1. Video adalah karya asli. (duh!)
2. Satu video tidak lebih 10 minit termasuk kredit. Jangan nak mengelat.
3. Kami terima sebarang tema.
PENTING
4. Pemilihan video berasaskan selera kami. Pemilihan paling tidak adil di dunia. Tiada sebarang formula filem pendek mana yang akan diterima. Objektif Maskara Shorties adalah menayangkan filem pendek, bukan sebuah majlis diskusi tentang filem pendek mana yang bagus, pengarah filem pendek mana yang ada ilmu, filem pendek ini tak art la, apa la. Acara seperti itu telah dijalankan oleh ramai tokoh filem pendek yang lain seperti Fazleena...eh, mana dia pergi? Hikhik.
5. Tarikh tutup menghantar filem pendek pada 31 Ogos 2009
6. Filem-filem lakonan Maria Ozawa, Sasha Grey, Riko Tachibana dan seangkatannya tidak akan ditayangkan melainkan hanya akan disimpan untuk tontonan peribadi.
7. Sila jangan beri filem pendek untuk ditayangkan pada hari acara. Edisi lepas sebab kami ada belas ehsan. Edisi kali ini tiada maaf bagimu.
8. Sebarang cadangan boleh dikemukakan pada pengurus projek, Nazri M. Annuar (vovin). Emel beliau boleh didapati di facebook.
9. Konsep seperti tahun lepas.
10. Hantar dalam format DVD atau CD. Untuk yang gagal menghantar by hand, boleh hubungi lelaki comel (baca: Nazri M. Annuar) di atas untuk selesaikan isu tersebut. Sekali lagi, jika berada di Armenia, sila pos.
11. bagi kami simpan salinan DCD/VCD filem pendek anda - manalah tahu, kalau-kalau kami dijemput untuk membuat tayang filem pendek di Singapura, Brunei, atau Uganda pada masa-masa akan datang. Makanya, taklah kami bersusah payah nak pergi ambil VCD/DVD tu dari anda lagi.
12. Selamat membikin.