Thursday, 12 July 2007

MASKARA 2 DI DADA AKHBAR


Klik gambar untuk versi hi-res

Maskara II tampilkan penyair veteran

DI ANTARA penyair-penyair muda yang tampil pada Malam Membaca Naskhah Sindiket Sol-Jah da Kawan-Kawan Yang Kita Suka (Maskara II) yang berlangsung di Rumah Pena, baru-baru ini kelihatan sosok penyair veteran, Pyanhabib.

Kehadiran beliau mempunyai makna tersendiri; pertama, ia sedikit mengubat rindu khalayak sastera ibu kota setelah lama tidak muncul mendeklamasi sajak dan kedua, memberi pendedahan dan berkongsi pengalaman tentang kepenyairan.

Tidak dinafikan, Pyanhabib merupakan salah seorang ‘produk’ kumpulan Anak Alam yang menekuni bidang kepenyairan sejak penghujung 1970-an.

Di sisi lain, Maskara akan terus cuba memperluaskan cakrawalanya sebagai program sastera alternatif. Dan, kehadiran Pyanhabib membuktikan ia sebagai program untuk semua.

Ia sejajar dengan objektif Maskara II yang mahu menjadikan program tersebut sebagai medium pertemuan antara penulis mapan, baru atau sekadar penulis blog.

Namun, kehadiran penulis mapan seperti Pyanhabib sebenarnya dapat membuka ruang perkongsian pengalaman, teknik dan pendekatan dalam pembacaan naskhah mahupun puisi.

Ini kerana, sebahagian besar pembaca naskhah atau penyair pada Maskara terdiri anak-anak muda yang masih cetek dalam dunia kepenyairan dan kesusasteraan tanah air.

Antara pembaca naskhah pada majlis tersebut ialah Spyz dari Sindiket Sol-Jah yang mendeklamasi puisi Aku karya penyair agung Indonesia, Chairil Anwar.

El-Maaniq dan Esis dari Narayuda pula membaca naskhah yang dipetik daripada antologi puisi Masuk Barisan manakala Fazli Al-Akiti pula membaca naskhah Jembalang Sudah Datang.

Pengacara malam baca naskhah tersebut, Zaifulnizam Wagiran turut mendeklamasi puisi Seperti Hati yang dipetik dari antologi Bicara Tanpa Suara.

Turut membaca naskhah aialah Azwan Ismail serta persembahan petikan gitar (tanpa nyanyian) oleh Anjang.

Persembahan lain ialah permainan gendang dan serunai oleh kumpulan Gemala Kasturi di bawah pimpinan Serunai Fakir.

Keseluruhan naskhah dan puisi yang dibaca dipetik daripada antologi Jiwa Kacau, Masuk Barisan, Kudeta, Kalashnikov, Pink Platun, Ayah Kita Boss dan Jongkang Jongket.


1 comment:

Anonymous said...

haha. aku juga baru lepas membacanya dia utusan! good luck maskara!