Monday, 6 December 2010

SelangorKini: Blook Caca Marba Penuh Satira Politik

SHAH ALAM, 20 Okt – Sindiket Soljah, sebuah kumpulan penerbitan buku dan filem pendek yang popular di kalangan anak muda bakal menerbitkan blook berjudul Cacamerba yang memuatkan tulisan Mat Jan, seorang blogger terkenal. Blook yang dijangka terbit dalam tempoh terdekat memuatkan kronologi pengalaman dan kehidupan Mat Jan sebagai seorang pelajar undang-undang.
Sindiket Soljah adalah kumpulan anak seni yang aktif menerbitkan buku pelbagai genre selain menganjurkan tayangan filem pendek dan acara seni lain seperti deklamasi sajak dan nyanyian.
Antara penerbitan buku mereka ialah Kudeta, Sabotaj, Perempuan Simpanan, K-Eight, Romlah, Kacip dan Cerkas.
Sebahagian buku terbitan Blog Sindiket Soljah yang telah dan bakal ada di pasaran
“Buku carcamerba ini adalah penulisan Mat Jan, salah seorang ahli dalam Sindiket Soljah, karya ini lebih kepada himpunan entri-entri blog Mat Jan.
“Mat Jan ini menulis perkara-perkara dan pemikiran yang sinikal semasa beliau aktif berblog dan semasa dia di universiti lagi,” kata Jeneral Sindiket Soljah, Sinaganaga.
Berbeza dengan buku terbitan arus perdana, karya Sindiket Soljah hanya boleh dibeli secara online atau pada acara tertentu. Malah, buku mereka tidak akan diulang cetak.
“Buku sudah terbit dan kita tunggu masa untuk pasarkan, seminggu dua lagi kita jual secara online.
“Kita percaya kemampuan Mat Jan ada pengikut-pengikut dan peminat-peminatnya dan kita berkeyakinan penuh, buku ini dapat dijual laris, Katanya.
Ini bukan pertama kali Sindiket Soljah menerbitkan blook, malah mereka adalah antara yang terawal di Malaysia menerbitkan blook melalui blook Ayah Kita Bosa. Sebelum ini blook Kacip yang memuatkan tulisan seorang ahli mereka, Piyapong mendapat sambutan hangat.
“Saya sebagai penilai, penulis dan pengantara, Mat Jan menulis untuk dirinya sendiri dan khalayak,
“Cerita berkisarkan komedi dan satira dan kita pun tahu, satira itu seperti menemplak tetapi dengan jujur beliau menegur,” jelasnya.
Blook Cacamerba yang menyentuh isu politik semasa tempatan yang digarap dengan berkesan ini boleh dilayari di http://sol-jah.blogspot.com.
“Pada saya siapa yang makan cili dia yang terasa pedas, ada kalangan kita bila pedas dia bagi tahu, ada yang berdiam dan ada juga yang tidak peduli.
“Kalau kita nak katakan buku ini ditujukan untuk golongan politik supaya orang politik dapat menilai diri mereka, saya rasa sukar kerana orang politik tidak baca buku-buku kami,” katanya kepada Selangor Kini.

No comments: