Monday, 1 January 2007

KUDETA [Edisi Terhad, Cetakan KEDUA]

NASKAH TERHAD! Ini mungkin tidak dicetak semula.

Kudeta
RM15 (tidak termasuk khidmat pos).
Hubungi sindiketsoljah at gmail dot com


kudeta merupakan himpunan cerpen dan entri blog oleh 6 ronin urban.

Riview:
Friday, May 11, 2007

CUBAAN KUDETA ENAM PENULIS "CENTRILOG"

ULASAN BUKU:

Judul : Kudeta
Penulis : Bukunota, Vovin, OP, Amir Mukhriz, Sinaganaga dan Jigo
Genre : Cerita Entri Blog (Centrilog)
Penerbit : Sindiket Sol-jah
Halaman : 90 halaman

CENTRILOG, akronim atau genre baru terburu-buru yang dibubuh enam blogger muda Melayu bermaksud "cerita entri blog". Cerita-cerita ini sudah tentu berbeza sekali dengan tulisan-tulisan dalam entri blog mahupun karya tulis sastera yang serius. Enam penulis ini tentu saja lahir dari pelbagai latar yang beda tetapi di dunia maya mereka menjadi serupa. Mereka mengusahakan blog secara sangat serius, meraih populariti dalam dunianya sendiri dan membina komuniti yang utuh dan akrab.

Tulisan-tulisan dalam Kudeta ada yang memiripi karya-karya yang boleh kita baca seperti di media arus perdana dan ada yang bersifat sangat peribadi. Bukunota misalnya sangat popular di Internet tetapi di dunia nyata juga ia tidak pernah alah. Nazmi Yaakub adalah namanya yang lain. Ia dikelaskan dalam kategori penulis muda berpotensi besar dan memenangi beberapa anugerah berprestij dalam dunia sastera tanah air. Kerana itu kita lihat, Bukunota atau Nazmi terbawa-bawa dirinya yang satu dalam kedua-dua dimensi pengkaryaannya.

Penyumbang-penyumbang yang lain meneruskan penghasilan karya-karya mereka secara sangat agresif, membelanya beberapa tahun secara konsisten dengan stamina yang boleh dibanggakan dan akhirnya mendapati bahawa dunia kertas yang kononnya menuju lorong suram itu sebenarnya sangat mapan sifatnya. Dan harus diakui bahawa tidak semua orang sukakan perubahan.

Akhir-akhir ini juga pemindahan karya dari skrin ke kertas menjadi semacam fenomena tidak kira dalam apa bentuk sekali pun sama ada cetakan profesional mahupun stensilan. Ia dimulai dengan Gangguan Tektual, Jiwa Kacau, Jiwa Kacau II dan Masuk Barisan. Ini tidak termasuk percubaan para blogger terjun ke dunia sastera dengan cara mereka yang tersendiri. Hasilnya, tercampaklah karya-larya seperti Wilayah Kutu dan Aweks KL.

Fenomena ini menjadi semacam perlumbaan seiring dengan perkembangan blog itu sendiri yang semakin luar biasa pergerakannya. Daripada web, kemudian blog atau weblog kemudian blook membawa kepada centrilog—huruf "e" ada di pangkal (atau hujung) nama genre menjadi e-sastera, novel-e dan lain-lain. Perkembangan ini progresif sekali dan menarik untuk dikaji dan diperhatikan.

Dalam masa yang sama, telah wujud dan establish beberapa komuniti khususnya di alam maya seperti Geng Jurnal, e-Sastera, Cybersastera (Indonesia) dan Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) yang tapaknya di alam maya. Kelompok-kelompok ini akrab, aktif dan semakin membesar dari hari ke hari. Aktiviti mereka melimpah sehingga ke ruang realiti. Mereka menganjurkan pertemuan, diskusi dan anugerah berkala mahupun tidak untuk ahli-ahli. Mereka memilih jalur pinggir dan mampu menempelak ego establishment dalam bentuk karya cetak dan sastera serta penulisan sedia ada.

Rata-rata golongan penulis blog atau lebih dikenali sebagai blogger ini adalah generasi baru yang akrab dan berinteraksi aktif dengan budaya pop semasa. Generasi ini sering dijuluk dengan Wired Generation dengan maksud generasi yang membesar dengan iPod, lagu-lagu eletronik dan hip-hop, telefon 3G, Play Station dan X-Box dan menghabiskan lapan jam hidupnya sehari dengan berbual di Internet dan memuat turun lagu-lagu dalam format MP3. generasi ini terdiri daripada anak muda yang mesra komputer dan teknologi berasaskan Internet dan setelit. Umur mereka rata-rata antara, seawalnya dari 14 tahun atau lebih muda sehingga meningkat awal 30-an. Inilah generasi yang benar-benar membawa dan memahami semangat zamannya.

Golongan yang satu lagi adalah golongan yang memulakan karya tulis di media konvensional kemudian beralih dan men-duplicate dirinya untuk dunia yang satu lagi yang dinamakan siber. Tidak kiralah sama ada percubaan mereka di kertas tidak mendapat perhatian atau ingin mencuba benda yang baru kerana di Internet dunia tulis-menulis sangat bebas. Tidak ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau lesen penerbitan. Tidak ada editor dan self cencorship. Di dunia ini hanya pembacul sahaja yang menyembunyikan pandangan mereka. Mereka bebas menulis apa saja yang mereka suka--pandangan, pendirian, ideologi mahupun propaganda. Siber menjadi dunia baru yang sangat luar dan sukar dijangka.

Dalam Kudeta, Bukunota masuk dalam golongan yang ini manakala penulis-penulis lain seperti Amir Mukhriz, Vovin, OP, Sinaganaga dan Jigo masuk dalam kelas yang pertama. Cuma Amir sedikit berbeza, establish-nya penulis muda berpotensi besar ini berlaku tanpa jurang yang ketara untuk mengkelaskannya dalam dimensi yang mana. Amir memulakan penulisannya di E-Sastera dan juga aktif membina nama di media konvensional.

Keseluruhan antologi ini merupakan cuplikan caripada blog masing-masing. Mereka menamakannya centrilog. Tetapi dalam bahasa konvensi, kita mengenalnya sebagai cerita pendek, cerpendek dan catatan. Ia menjadi centrilog kerana mula-mula dimuatkan dalam entri blog. Introduksinya ditulis Raja Boneka.

Kudeta cuba hadir dalam bentuknya yang paling cool dan sempoi. Catatan awalnya seperti mengulang dan mengimbas kita kepada Faisal Tehrani dan Saharil Hasrin Sanin atau Azman Husin dalam antologi cerpen underground mereka. "...ia (watak-watak dalam Kudeta) tidak ada kena mengena dengan hidup kami. Kami tidak suka hisap ganja dan minum arak, misalnya. Tapi, kami memang suka kepada benda-benda cantik."

[bersambung]

Saturday, June 16, 2007

CUBAAN KUDETA ENAM PENULIS "CENTRILOG" II

Kudeta atau dalam maksud yang lain rampasan kuasa alias penggulingan terinspirasi, tentunya dari Thaksin dan Jeneral Sonthi hujung tahun lalu. Pergesaran dan pertukaran kuasa memberi impak yang dahsyat. Dan mana penulis yang tidak pernah tergoda dengan aroma politik? Kerana itu pernah ada karya-karya seperti Shit, Dari Derita Bangsa, Keranda 152 dan Duri dan Api.

Tetapi Kudeta yang ini seperti tertulis seawalnya di kulit depan, memetiknya, bukanlah manual rampasan kuasa; dan tentunya tiada kena mengena dengan pemimpin sedia ada.

Yang menarik untuk dilihat dalam antologi ini bukanlah soal teknik atau 'cap jenama' (tidak kiralah centrilog atau apa-apa) tetapi sudut pandang Wired Generation ini. Ia memungkinkan berlaku interaksi yang lebih luas, luwes dan rancak antara sastera serius dan budaya pop. Pandangan-pandangan baru ini pula tidak lahir dari belenggu institusi yang dilembagakan secara tidak jelas dan dunia penulisan tanah air (antaranya 'agama' dan 'budaya') tetapi sikap berani, kreativiti yang imaginatif dan suara-suara jujur.

Dalam Kudeta, pandangan bahawa blog itu hanyalah catatan peribadi (jurnal) di Internet semata-mata telah dibiaskan. Definisi ini berani digugat bahawa blog boleh jadi lebih daripada itu. Centrilog-centrilog, jika boleh digunakan istilah ini, dalam Kudeta menyentuh pelbagai isu daripada yang personal kepada yang politikal secara sinikal.

Bahagian paling menarik saya kira adalah tulisan Bukunota Prolog Kudeta Cinta Chao Phraya dan Kucupan Monumen Demokrasi serta Ustazah Es tulisan Amir Mukhriz walau pandangannya yang diadun kemas dalamnya sarat dengan prejudis dan simplistik. Tapi dari aspek plot dan suspen, juga subjek ia menjadi sangat segar dan bertenaga.

Tulisannya membawa nada wit yang dalam. Ia menyentuh soal 'liberaslisme' Islam (walaupun konflik sebenarnya adalah emansipasi Islam) mengambil model Amina Wadud, sang imam wanita yang kontroversi sedikit masa lalu kerana mengimamkan solat Jumaat. Amina tercermin dalam watak Ustazah Es yang digambarkan membawa dakyah kepada orang kampung sehingga menghasut mereka menerima perempuan sebagai Iman. Konflik cerita, apabila tiba masa solat Jumaat, imam perempuan itu tidak datang kerana satu alasan yang lucu sekali: Datang bulan. Sebuah kretiviti yang mencuit minda.

Begitu juga dalam tulisan Bukunota--sebuah percintaan terlarang itu umpana kudeta. Sebuah malam, dalam kamar, "aku" menikmati Su Chi secara tidak halal tetapi di luarnya "Mereka" menumbangkan kerajaan juga secara tidak halal. Kudeta dilihat sebagai aksi haram dalam sebuah demokrasi. Tetapi cara cerita ini dibawa dan dikiaskan menjadikan dua tulisannya kuat dan bertenaga, dari sudut idea mahu pun estetika.

OP pula masih dengan entri-entri pendeknya. 19 keseluruhannya dengan beberapa judul yang agak provokatif seperti Rampasan Udara, Aku Tak Nak Jadi Presiden, Perampas Kebebasan dan Sebuah Epilog Molotov Cocktail. Namun cerita-ceritanya lebih kepada humor daripada sinis. Sejambak tulisan-tulisan biasa.

Beralih kepada Sinaganaga, blogger ini membuktikan senioritinya dalam dunia blog. Beliau memenangi Anugerah Geng Jurnal 2005 dan 2005, kedua-duanya untuk kategori Entri Mencuit Hari terbaik. Ia agak politikal tetapi bersembunyi di balik nama kreativiti. Ada usikan propaganda ringan. Namun begitu, paling menarik dalam tulisannya yang berjudul Ramas.

Dua pasangan India Batumalai dan Nirupa, orang miskin yang membeli rumah yang dijanjikan siap dalam masa 18 bulan. Hampir dua kali Deepavali. Apabila tiba masanya, janji tersebut gagal ditepati dengan alasan yang tidak boleh dipakai dan mereka terpaksa menunggu 18 bulan lagi dari saat itu. Dalam kekecewaan itu Batumalai terjumpa sehelai risalah mengiklankan harga pelbagai jenis Molotov Cocktail dan kena cepat, selagi stok masih ada atau seperti yang tertulis dalam risalah itu, "sebelum saya kena reman tujuh hari".

Batumalai pun bergegas dengan kereta Mazdanya dan di radio, Fara Fauzana memutarkan lagi M. Nasir Tinggalkan Satu Peluru. Cerita digantung setakat ini dan pembaca dibawa menyelesaikan masalah ini sendiri. Yang menariknya dalam cerita ini, yang kita boleh baca bukanlah saranan keganasan tetapi bagaimana penyelewengan dan penupuan melahirkan manusia baru yang ganas. Sudah tentu maksudnya keganasan itu tercipta oleh sebuah sistem yang tidak adil bukannya hasil hasrat manusia. Sinaganaga berjaya menghidupkan semangat cerpennya dengan kemas dan bergaya.

Entri-entri lain juga menarik tetapi tidak perlu diceritakn lebih di sini. Ini tergambar dalam Demonstrasi Berparlimen misalnya secara sinis melawak-lawakkan gelagat di parlimen (bukan Malaysia).

Jigo juga mempunyai peribadi yang hampir sama dengan dunia kepenulisan Sinaganaga tetapi sedikit juvenalia (keras). Karyanya langsung dan sedikit menghala kepada pengkaryaan Shahnon Ahmad, cuma tanpa pengulangan-pengulangan dan penekanan yang konsisten. Dalam Hari yang Indah, beliau menceritakan tentang saat kematian Diktator Tua yang tragis. Sebelum watak hitam dibunuh, ia pohon memakai kasut Ketua Pemberontak, mulutnya melontarkan kata-kata, "ini hari yang indah."

Dan selepas kematiannya, pengarang mengakhiri ayat dengan kata-kata, "ini hari yang indah untuk memulakan kehidupan." Sangat menarik dan estetis.

Dalam antologi ini, Vovin dikira paling lemah. Entrinya Alin hanya sebuah cerita biasa. Vovin menggambarkan wajah klasik, klise dan konvensi sebuah blog yang biasa--blog dalam erti katanya yang paling establish--catatan-catatan peribadi (jurnal) di Internet. Alin sederhana.

Selepas ini, kita menantikan ribut kudeta yang lain yang boleh datang tiba-tiba cara senyap-senyap. Saya pesimis ia menjadi besar dalam arena kertas. Tetapi siapa tahu. Siapa mampu membaca bila kudeta tiba. Akhir sekali, memetik Raja Boneka dalam introduksinya, "...menghasilkan buku-buku tidak perlu ribut-ribut. Dalam senyap pun boleh jadi. Macam Kudeta (dengan K besar-italik)."

Untuk lebih adil, bacalah sendiri buku kecil ini. Cuma RM 15 tetapi hampir tidak terdapat dalam pasaran biasa. Ia diiklankan secara percuma di Internet sahaja. Membaca buku ini tentu saja tidak sama seperti membawa cerpen-cerpen di akhbar perdana mahu pun majalah-majalah keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Membawa Kudeta adalah membaca sesuatu yang lain, yang disenangi kita sebagai orang muda yang akrab sengan zamannya.

http://bukurepublikkata.blogspot.com/2007/06/cubaan-kudeta-enam-penulis-centrilog-ii.html

4 comments:

sinaganaga said...

Untuk makluman, KUDETA tidak akan dicetak ulang lagi selepas ini!

sinaganaga said...

Oit2! Tidur ka?

sinaganaga said...

Ha ha. Kami terpaksa jilat semula ludah kami. KUDETA diulang cetak untuk kali ke-3 (sempena ghatering MPR).

Jadi, dapatkan naskhah anda ya!

Anonymous said...

Rebiu Saharil di http://saharil.com/default.asp?e=0146_kudeta