Tuesday 4 December 2012

#KLWRF SINDIKET SOL-JAH DALAM KOSMO 3 Dis 2012

Perhimpunan pencinta buku di Kuala Lumpur


MOHD. RAYHAN (dua dari kiri) bersama rakan-rakannya yang meluangkan masa mengunjungi festival ini.


FESTIVAL Penulis dan Pembaca Kuala Lumpur yang dianjurkan pada pertengahan bulan November lalu ternyata berjaya menarik warga kota untuk lebih mengetahui industri penerbitan buku negara.
Acara yang julung-julung kalinya dianjurkan itu memberi peluang kepada pembaca menemui penulis buku secara terus.
Pada acara yang sama, sesi pelancaran buku baharu keluaran syarikat penerbitan turut dianjurkan.
Tidak hanya tertumpu kepada jualan buku semata-mata, produk-produk tempatan seperti barangan fesyen remaja, hasil kraf tangan dan barangan terpakai turut memeriahkan acara kali ini.
“Festival ini menggabungkan pelbagai elemen dalam satu acara iaitu muzik, tayangan video, sastera dan yang paling menambat hati pengunjung ialah pelbagai buku dijual pada harga murah,” ujar seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Rayhan Ahmad, 20, yang berkunjung ke festival itu.
Festival yang dianjurkan oleh kumpulan aktivis seni, Sindiket Sol-jah bersempena Pop Fest itu berlangsung di foyer Perpustakaan Kuala Lumpur berhampiran Dataran Merdeka.

KARYA lukisan daripada penggiat seni tanah air turut memeriahkan suasana festival.


Menurut penganjur acara, Haris Maulana, 44, perancangan untuk menganjurkan Festival Penulis dan Pembaca Kuala Lumpur itu dibuat selepas kejayaan Sindiket Sol-jah menganjurkan Festival Penulis dan Pembaca Johor Bahru pada bulan September lalu.
“Kami bawakan idea festival yang berlangsung di Johor Bahru itu ke ibu negara. Konsep kedua-dua festival ini ialah menjual buku, jadi syarikat penerbitan boleh mengadakan sesi bual bicara dengan pembaca.
“Sambutan festival di Kuala Lumpur ini amat menggalakkan mungkin kerana lokasinya strategik dan terletak di tengah-tengah ibu kota. Selain itu, pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan cendekiawan dan tokoh agama turut hadir menyokong festival ini,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Promosi dan diskaun buku
Festival yang bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam itu mengundang kumpulan muzik tanah air seperti Second Combat, Muck, Khottal dan Al Farabi Band untuk membuat persembahan pada sebelah petang.

KOLEKSI pakaian terpakai yang dijual berjaya mencuri tumpuan pengunjung.


Tambah menarik, Papa Rock negara, Ramli Sarip turut mengadakan persembahan khas untuk pengunjung yang hadir ke festival itu.
Seorang penerbit buku, Muhammad Aisamuddin Md. Asri, 29, menjelaskan, kebanyakan penerbit buku memberi promosi harga istimewa sepanjang festival ini.
“Promosi harga ini membantu kami sebagai pihak penerbit menggalakkan golongan muda untuk meminati bahan bacaan keluaran syarikat tempatan. Saya lihat ini merupakan satu perkembangan positif dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujar penerbit buku Lejen Press itu.
Antara syarikat penerbitan yang terlibat dalam festival tersebut ialah Merpati Jinga, Neon Terbit, Jargon Books dan Sang Freud Press.
FESTIVAL ini juga memberi ruang kepada warga kota yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan untuk mempromosikan produk mereka.


Sementara itu, pelakon, pengarah, pelakon, penyanyi dan penulis skrip, Khir Rahman yang turut memenuhi slot pertunjukan filem pendek terbaharu arahannya yang bertajuk Pesona...ter berharap festival itu diteruskan pada masa akan datang.
“Festival seperti ini merupakan tempat lazim untuk golongan remaja yang meminati variasi seni tanah air. Ini memberi gambaran bahawa Malaysia mempunyai komuniti yang cintakan seni walaupun pertama kali dianjurkan,” jelasnya.