Saturday 30 January 2010

BERCAKAP DENGAN ANA RAFFALI II


Hampir genap setahun kemunculan Ana Raffali di Maskara. Ana akan muncul lagi di pentas Maskara 6 Feb 2010. Sayang betul Ana dengan Sol-jah.

Q1. Ana sudah banyak membuat persembahan di pentas-pentas indie dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Apakah keunikan pentas indie Maskara berbanding dengan yang lain?
Saya kembali ke Maskara sebab saya suka kumpulan sasarannya, audiens yang mendengar dan menghargai. Saya suka atmosfera di Maskara yang cukup intim dan personal, seolah-olah kita sudah lama kenal, dan yang hadir semua kawan-kawan kita. Geng sindiket berjaya merapatkan kita semua di bawah payung seni. ;)

Q2. Ana telah beberapa kali muncul di corong radio, kaca TV dan dada akhbar. Jika ada sindiran yang mengatakan Ana sudah "sell out to the corporate devil by joining the mainstream," apakah jawapan Ana?
Orang boleh kata apa yang mereka mahu. Saya tak boleh halang. Muzik bagi saya tak perlu ada batasan atau jurang atau label yang diberikan orang untuk membeza-bezakan perjuangan muzik kita. Pentingkah label mainstream/underground itu untuk menilai lagu-lagu dan karya-karya yang bagus? Kita tak perlu bias atau prejudis dalam soal ini. Lagu yang sedap memang lagu yang sedap di dengar, tak kira dimana ia bermula dan berakhir. Matlamat saya ialah membawakan lagu-lagu yang sedap supaya menjadi santapan segenap rakyat malaysia, tak kira status atau lokasi. Tinggi cita-citanya saya tahu, tapi saya tetap akan cuba.

Q3. Nama Ana Raffali makin dikenali ramai. Peminat semakin ramai. Adakah populariti ini serba sedikit menyekat kebebasan atau membawa masalah baru dalam kehidupan? Sudah ada stalker?
Hahaha.. setakat ni takde (dan saya harap takkan ada) orang yang tak dikenali menunggu saya depan rumah. Lumrah kehidupan dalam dunia hiburan orang kata. Di masa hadapan, ia mungkin akan menjadi antara pergorbanan saya setelah menceburkan diri dalam bidang ini. Tapi saya terima seadanya, kepuasan berkarya untuk dikongsi dengan orang ramai memang berbaloi.

Q4. Ilmu muzik ini luas. Sebagai pemuzik, Ana perlu sentiasa menimba ilmu dan pengalaman baru bagi memantapkan kualiti hasil ciptaan dan persembahan. Apakah cara yang Ana amalkan agar pembelajaran dalam bidang seni ini berterusan?
Saya suka membaca dan mencari jawapan bagi apa-apa persoalan yang timbul. Segala yang bermakna dalam hidup ini saya fikir sudahpun tertulis atau cuba dikongsi oleh orang terdahulu, jadi tugas saya ialah membacanya. Saya juga banyak bertanya dengan mereka yang berpengalaman, terutamanya dengan bos saya, Aidit Alfian. Beliau bertindak sebagai tukang tunjuk ajar dan juga selaku pakar motivasi. Selebihnya saya tengok di YouTube.

Ana di Maskara. Foto arkib- Blog Nordin.

Q5. Kelas muzik di sekolah adalah meniup recorder. Itupun kelas itu selalu dibatalkan bagi memberi laluan kepada subjek yang ada masuk peperiksaan UPSR. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman Ana sendiri, bagaimanakah sistem pendidikan Malaysia dapat mengasah bakat muzik muda dengan kaedah yang lebih baik agar negara dapat melahirkan pemuzik yang bertaraf dunia?
Saya masih ingat sesi belajar rekoder dalam kelas muzik di sekolah rendah, tapi tak kemana pun. Kalau tak tentu saya sudah bergelar pemain rekoder ternama di malaysia. ;p Sayang sekali pendidikan muzik di sekolah rendah secara umumnya tidak dititikberatkan oleh kementerian. Mungkin ia dilihat sebagai satu aktiviti masa lapang yang tak menjanjikan apa-apa pulangan yang lumayan sebagai satu karier. Dan kanak-kanak yang berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik, rata-ratanya mempunyai ibu-bapa yang berkemampuan dan turut mempunyai minat terhadap muzik. Jadi, apa kata kita sediakan sekolah khas untuk kanak-kanak belajar muzik dan mengasah bakat mereka dari kecil. Sekolah projek. Tentu ia bakal menghasilkan pemuzik yang membesar dengan muzik.


Q6. Kita bisa merancang tapi Tuhan yang menentukan. Apakah projek-projek seni Ana sekitar tahun 2010 -2011?
Album. InsyaAllah akan siap tak lama lagi. Saya juga berharap dapat merantau ke setiap negeri di Malaysia untuk mempromosikan album dan mengumpul lagu-lagu baru. Saya harap dapat menghasilkan video-video muzik yang berkualiti agar semua orang terhibur secara visualnya ketika mengunjungi pusat karaoke terdekat dengan kawan-kawan. Selebihnya, mari kita lihat siapa yang kena!

Q7. Ada yang cadangkan tanya Ana soalan terjah, "Bila nak kahwin?" untuk soalan akhir ni. Tapi sensasi tak bertempat dan klise media tempatan sangat la pulak. Jadinya soalan akhir,
Ana tentu mempunyai beberapa alat muzik yang Ana sayang dan mungkin juga setiap satu Ana bagi nama manja tersendiri. Bagaimanakah Ana menyimpan dan menjaga alat-alat ini agar tidak rosak?

Dengan baik. Untuk gitar-gitar saya (Woodie dan Trippie), saya pastikan mereka sentiasa berada di kawasan yang tak terlalu panas dan tak terlalu sejuk. Peringatan kepada mereka yang memiliki gitar akustik, jangan sesekali tinggalkan gitar anda di dalam kereta ketika panas terik, haba boleh merosakkan kayu menjadikan ia melengkung. Saya juga menyapukan "lemon oil" di fingerboard dan bridge serta membersihkannya dengan kain, setiap kali menukar tali baru. Itu kerja-kerja maintenance. Sayangilah gitar anda.


.....
p.s.
Bang,
Berangan mahu jadi gitar ke?

Wednesday 27 January 2010

MASKARA SHORTIES 29 JAN 2010 Kuala Terengganu




Sudah lama teringin mahu ke Terengganu. Dengar khabar orangnya mesra dan pasirnya putih. Dengar khabar juga, petang-petang ada budak-budak main bola tepi pantai dan orang awam menjamu selera makan ikan goreng sambil disapa sepoi-sepoi bahasa angin Laut Cina Selatan. Paginya pula, sarapan nasi dagang. Mulanya satu tak berlebihan.

Sindiket Sol-jah akan ke Kuala Terengganu membawa filem-filem pendek untuk ditayangkan. sambil-sambil menikmati apa yang dikhabar orang tentang Terengganu.

Monday 25 January 2010

BlogPartyJB Meriah

Majlis kongsi ilmu BlogpPartyJB di Pasir Gudang anjuran Wonderspace dengan format santai unconference pada 23 Januari 2010 berlangsung dengan penuh adab sopan dan tatasusila. Sindiket Sol-jah menghantar Tok Rimau dan Pipiyapong untuk memeriahkan majlis. Antara lain, majlis diserikan dengan ceramah dan forum perdana:
Ada Apa Dengan Blog (Sejarah Blog) - Tok Rimau
Moblog (Mobile Blogging with Smart Phones) - Sicksand JBfoodClub
Mitos Dalam Blogging (Tips and Tricks) - Syed Syahrul Zarizi
Blogger Paling Kacip - Pipiyapong
Thinking Process Behind Ulu Tiram Entries - Jimbo Ulutiram
Inisitatif Blog Filmuda - Rozinor Razali

Pun begitu, yang banyak curi tumpuan dalam majlis itu adalah mihun goreng dengan ayam goreng. Sekian dilaporkan.

Sunday 24 January 2010

BERCAKAP DENGAN PISEK



Q1: Apakah itu PISEK dan siapakah anggota-anggotanya?
PISEK sebenarnya sebutan atau slanga orang2 muda di Selatan Thai (Golok & kawasan yang sewaktu dengannya). Kalau kefahaman BAHASA maknanya ISTIMEWA tapi kalau kegunaan orang-orang muda maknanya BAIK (kalau Kelantan MOLEK). Itu untuk ASALnya tapi kalau mengikut HALAL di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan maknanya Pertubuhan Seni Sastera Anak Muda Kijang Kota Bharu.

Q2. Bagaimanakah PISEK terbentuk?
PISEK terbentuk hasil perbualan kosong dengan keadaan KACIK (atau KACIP-maknanya sama ngan buku Pipiyapong) sambil petik gitar bawah pokok rambutan (Halaman rumah kaum-kerabat... Dulu Fadli selalu datang). Idea 5 orang dan nak sangat tubuhkan PISEK sebab memang KACIK dengan suasana SENI SASTERA di Kelantan. Bukan dari segi yang terlibat dalam SENI atau SASTERA tapi persembahan. Kalau setakat main bawah pokok tak ada tempat untuk tunjukkan bakat yang tidak seberapa, MASALAH juga. Takkan selamanya nak buat persembahan kena tunggu jemputan dari luar terutamanya Kuala Lumpur (terima kasih SINDIKET SOL-JAH jemput PISEK...Kalau tak memang KACIK lebih teruk dari yang 'menunggang kuda'- kalau ada kawan di Kelantan tanyalah maknanya).
Projek sulung kiranya buat HAL dengan menganjur baca puisi dikir barat di tempat GENG SOL-JAH pernah buat tayangan dulu (Depan TOKONG CINA) pada 8hb Januari 2001.

Q3.  Apakah projek seni PISEK sekitar 2010-2011?
Kalau mengikut ANGAN MAT JENIN memang banyak tapi yang penting PISEK sedang usahakan PEKAN SEHARI PISEK iaitu untuk MENUBUHKAN TABUNG TUISYEN PMR/SPM UNTUK PELAJAR MISKIN DI KAMPUNG CINA (tanpa mengira fahaman POLITIK). PEKAN SEHARI PISEK berjalan satu hari dengan jualan buku, mungkin TAYANGAN FILEM PENDEK, Baca Puisi, Nyayian Lagu Puisi, Dikir Barat dan malamnya dengan Pementasan Teater Amal 'GADIS KECIL YANG MENGARUT DENGAN POKOK TUA YANG ANEH'... Insya'Allah.


Q4. Kenapakah PISEK memilih Inferno untuk dipersembahkan di Maskara 19?
Soalan ini yang paling BEST sebab tak macam soalan FENOMENA SENI (Hehehe)... Sebab yang paling UTAMA ialah FADLI AL-AKITI (mungkin suatu masa FADLI AL-AKITI akan menjadi IKON penulisan dan HAHAHA... PISEK dah adaptasi cerpen dia (erm... dalam tak sampai suku pun nak skripkan SAGA HORIZON) dan 1 lagi INFERNO (NERAKA) sesuatu yang mencabar (klise) ialah macamana tak mencabar kalau yang diangkat sesuatu yang LARI dari penceritaan sebuah cerita pendek berunsur AGAMA (Sorry Fadli jika silap tapi itu yang nampak).


Q 5. Apakah persediaan PISEK sebelum persembahan di Maskara kelak?
Gelak jap (Hahaha)... Skrip PISEK sebenarnya skrip teater untuk 1 jam 30 minit tapi memandang ruang untuk MASKARA hanya 15-20 minit jadi kenalah buat lain. Nak ambil dari skrip teater rasa sayang takut ada yang tertinggal. Kiranya untuk MASKARA berbeza dengan lakaran awal skrip teater. Latihan macam biasalah di depan TOKONG... Nasib baiklah orang TOKONG MEK TIN HIN KONG nie faham. Persediaan cukup-cukup ALA KADAR. Mana boleh cakap... TUNGGU!


Q6. Mengendali sebuah kumpulan seperti PISEK memerlukan dana. Bagaimanakah kalian merancang untuk menjana dana tersebut?
Tentang perkara ini, apa yang boleh dikatakan mendapat penajaan SYARIKAT SENDIRI SENDIRIAN BERHAD. Atas sebab itulah PISEK terpaksa diHALALkan dengan berdaftar dengan R.O.S. Sekurangnya perjalanan untuk masa depan PISEK mendapatkan sumber kewangan melalui projek yang dijalankan ada keMASYUKkan.

Q7. Kelantan mempunyai sosio-budaya yang unik berbanding negeri-negeri lain di semenanjung. Adakah PISEK akan mengapatasi kumpulan kepada rakyat Kelantan atau Kelantan yang mesti mengadapatasi kepada PISEK?
Aduh (mengeluh sikit sebab soalan ini macam soalan DALAM LINGKUNGAN bersama SYED MUNAWAR-Hahaha)... Kalau dah disebut KELANTAN maknanya KELANTAN ada perbezaan ketara dari segi banyak perkara (dari ORANG KELANTAN hingga ke benda paling kecil... apa-apalah). Kata TOK GURU DATUK NIK ABDIL AZIZ, di KELANTAN sebaik-baik manusia pun ada dan sejahat-jahat (nakal) pun ada. Seimbang. Berbalik pada soalan, jawapannya PISEK mengambil jalan tengah (ATAS PAGAR). Keterbukaan PISEK ada hadnya dan jika adaptasi pulak... ada hadnya. Tapi kalau boleh... PISEK mahu bergerak mengikut acuan yang telah ada dalam diri ahli PISEK sendiri... kalau perumpaan (maaflah saudara/saudari sebab ala-ala berBUDAYA sikit-Hahaha)... UMPAMA MENARIK RAMBUT DALAM TEPUNG, RAMBUT TAK NAK PUTUS DAN TEPUNG TAK NAK BERSELERAK.

Wednesday 13 January 2010

BERCAKAP DENGAN MOHD JAYZUAN


Foto Mohd Jayzuan oleh Kukubesi yang diambil dari Facebook beliau.

1. Kepada khalayak yang baru berjinak-jinak dengan scene indie, perkenalkan siapakah Mohd Jayzuan sebenarnya dan genre muzik mainan Mohd Jayzuan?
Saya adalah seorang budak kampung dari Simpang Pulai, Ipoh yang suka bermain muzik dan berceritakan tentang kisah-kisah hidup saya melalui muzik. Muzik yang saya mainkan pula bolehlah dikategorikan sebagai 'lo-fi folk pop'.

2. Selain dari berdendang sambil mengores gitar, apakah kerja-kerja lain, sambilan atau sepenuh masa, yang pernah Mohd Jayzuan buat?
Buat masa sekarang, sepenuh masa saya bermain muzik dan ada juga beberapa kali hampir hendak mati lemas di KL ni gara-gara hidup hanya bermain muzik saja. Saya pernah bekerja di syarikat pelancongan milik keluarga, tetapi saya rasa hati saya tidak berada di sektor sebegitu, jadinya, saya berhenti kerja untuk terus bermain muzik.

3. Di Maskara pernah ada komedi berani mati, puisi orang bisu, baca naskah buku, silap mata rock dan macam-macam lagi cabang seni. Apakah yang bakal Mohd Jayzuan persembahkan kelak?
Hmm... saya kira ada kemungkinan malam Maskara 19 nanti akan hujan gara-gara dek kerana saya akan mendendangkan lagu-lagu syok sendiri saya bersertakan suara saya yang sumbang. Setakat ini perancangan saya adalah untuk menyanyi, tidak tahulah jika tiba-tiba buang tebiat nanti -- tiba-tiba saya menari atau baca sajak.

4. Kongsikan dengan khalayak tentang projek-projek seni yang Mohd Jayzuan sedang usahakan sekitar 2010-2011.
Album solo kedua saya akan dilancarkan pada bulan March 2010 nanti, kemudian, ketika saya menjawab temubual ini, saya masih lagi sedang menaip menyiapkan manuskrip untuk buku tulisan pertama saya yang bakal diriliskan oleh Sang Freud Press. Buku tersebut adalah tentang kembara saya berjalan mengelilingi Semenanjung Malaysia seorang diri selama 28 hari. Ia lebih kurang seperti jurnal atau travelog -- tentang apa yang saya lalui sepenjang 28 hari tersebut.

Saya juga akan ke Manila bulan April ini untuk mengadakan persembahan di sana. Tahun lepas saya pergi bermain bersama kugiran saya, Free Love dan tahun ini saya akan bermain sebagai Mohd Jayzuan. Juga sedang dalam perancangan untuk merakamkan E.P (bukan album) di Jakarta pada pertengahan tahun nanti.

Cerita lain, ini tidak bersangkut paut dengan seni -- butik saya dengan beberapa kawan-kawan sedang didalam proses pembaikpulih dan saya harap ia boleh mula beroperasi secepat yang mungkin.

5. Banyak-banyak alat muzik yang Mohd Jayzuan miliki, yang mana satu Mohd Jayzuan paling sayang? Kenapa?
Gitar tong saya. Pertama, kerana ia adalah hadiah daripada seorang kawan baik dan kedua, gitar tong tidak pernah gagal menemani saya di masa-masa sepi.

6. Namakan 3 individu yang banyak mempengaruhi Mohd Jayzuan dalam bidang muzik?
Kalau dimaksudkan dengan pengaruh muzik, saya sukakan hasil kerja Lou Barlow, Syd Barret dan Daniel Johnston. Kalau dimaksudkan pengaruh daripada segi orang -- ibu saya, ayah saya dan perempuan-perempuan yang selalu mengecewakan hati saya.

7. Kata orang, a poet must suffer. Apa kata Mohd Jayzuan- Perlukah seorang seniman itu menderita untuk menghasilkan seni? 
Ada betulnya juga, ramai kawan-kawan saya pemuzik, penyajak, pelukis, penulis dan pelbagai pekerja seni pernah menghadapi masalah yang sama. As artists, usually we resist to do 9 to 5 job. No 9 to 5 job means to suffer. Macam apa yang saya lalui sekarang. Hehehe.

Tuesday 12 January 2010

BERCAKAP DENGAN DEAN SHAM



1. Tidak semua khalayak Maskara kenal Dean Sham. Siapakah Dean Sham sebenarnya?
Dean Sham ialah seorang pembikin filem pendek bebas yang bercita-cita untuk membikin filem panjang dalam sedikit masa lagi. Dean Sham sebelum ini lebih banyak menulis untuk filem pendeknya, tetapi setelah menyertai Sol-jah, Dean Sham sedang giat berlatih siang dan malam untuk menulis cerita-cerita pendek seperti yang Sol-jah lakukan.

2. Apa yang membuat Dean Sham menerima tawaran Sindiket Sol-jah untuk menjadi rekrut?
Dean Sham juga seperti lelaki urban yang lain, gilakan glamor. Menerusi Sol-jah Dean Sham berupaya untuk mengecapi status celebriti seperti Pipiyapong mahupun Vovin jika Dean Sham berusaha keras. Kalau tak dapat popular macam mereka, dapat jadi macam Toqreemaow pun jadilah.

3. Dengar-dengar persembahan Dean Sham kelak belum pernah dibuat dek orang di Malaysia ni. Tolong bagi sedikit gambaran tentang apa yang bakal Dean Sham persembahkan di Maskara 19.
Dean Sham cuba untuk bercerita (pendek) ala penglipur lara Jepun. Dean Sham akan memakai Yukata yang diimport khas dari Jepun. Budget persembahan ini agak besar memandangkan kostum Dean Sham perlu diterbangkan dari Tokyo. Bajetnya kurang seringgit dua je dari bajet Akim masa show AJL 24 dulu tu.

4. Kongsikan dengan khalayak tentang projek-projek seni yang Dean Sham sedang usahakan sekitar 2010-2011.
Wow banyak. Antaranya, projek buku dengan Sol-jah, projek Maskara Shorties PLATINUM yang sedang dalam tahap perancangan strategik. Selain dari itu, sebuah filem pendek yang akan di terbitkan sekitar Julai atau Ogos.

5. Persembahan siapa di Maskara yang lampau masih terngiang-ngiang di minda Dean Sham?
Pres ban, dan Wani Ardy heh..heh..

6. Apakah persembahan yang Dean Sham teringin nak tonton di Maskara pada masa hadapan?
Pole Dancing ataupun Belly Dancing. SENI APA?!

7. Apa pendapat Dean Sham tentang lopak kecil berdiameter 1 meter di kawasan tempat kereta berumput di depan Rumah Pena?
Dean Sham berharap pihak pengurusan PENA tidak berusaha untuk menutup lubang tersebut kerana ianya telah menjadi sebahagian daripada MASKARA. Lagipun ianya berjaya membuatkan para pekerja jaga parking lebih bermakna.

Sunday 10 January 2010

Kalendar aktiviti MASKARA 2010

1. Maskara - 6 Feb 2010

2. Maskara Showcase - 8 May 2010

3. Maskara - 3 Julai 2010

4. Maskara Shorties - 7 Ogos 2010

Pada tahun ini kami akan kurangkan jumlah penganjuran Maskara kerana tak berapa nak ada bajet dan kami awalkan Maskara Shorties untuk mengelakkan musim hujan.

Sebarang pindaan akan diberitahu kelak.

Kawan-kawan yang kita suka,
Teruskan menyokong kami ya!

- SINAGANAGA
Jeneral Sindiket Sol-Jah.

Wednesday 6 January 2010

AKAN TERBIT [Nasional Bestseller]

Image Hosted by ImageShack.us

Di tempat duduk belakang – Jimi Mahmud suruh Lijah Somel push, Lijah Somel suruh Jimi Mahmud shut up!
- dalam cerpen Bidan Sepiah.

“Kau pergilah,” katanya pada lalat hijau itu, “Aku faham. Nanti aku bersiap!” Dan lalat hijau itu pun seakan mengerti terus menghilang dan tidak muncul lagi.
- dalam cerpen Jali Lempoyang.

Mula-mula Dukun Najri Kamarianto buat lubang sebesar penumbuk. Dimasukkan kain kuning yang sudah dijampi dan dipacakkan kayu asam jawa di atasnya.
- dalam cerpen Dukun Najri Kamarianto.

…kata Leman sambil menggerepes-gerepes tahi cicak kering pada permukaan papan lapis rostrum, “Kalau nak jadi pemimpin ni… kita kena ada manifesto!…
- dalam cerpen Pak Akop Baju Kot.

Selepas update blog, Leha akan baring dan baca buku pasal perkahwinan. Dia baca Aku Terima Nikahnya oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Dia baca Tentang Cinta oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Dan, yang paling dia suka baca, Cakar Harimau: Tips Kebahagiaan Rumahtangga oleh Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood.
- dalam cerpen Leha Kebaya Jarang.

Budak yang saban malam menemani dirinya berdiri di depan dan tersenyum. Jelas dilihat wajah budak itu yang hilang sebelah matanya dan terkopek isi wajahnya akibat kesan cakaran.
- dalam cerpen Encik Ranjer.

Wak Karmon sudah nekad. Tekadnya sudah bulat, bulat bagai pembentung. Apa nak jadi, jadilah.
- dalam cerpen Wak Karmon.

Aida sedang duduk bersimpuh di depan peti televisyen di rumah neneknya. Tangannya menyapu-nyapu perut yang semakin membesar. Hatinya berbisik, “Ingatlah sayang! Nama ayahmu ialah Abdul Kadeer Kuti.”
- dalam cerpen Abdul Kadeer Kuti.

“Saya anggap Abang Leman Kompang ni macam anak ketua kampung saya sendiri,” kata Leha Kebaya Jarang. Dia terus berlari masuk ke dalam rumah. Sedikit pun tak toleh ke belakang.

Leman Kompang terkebil-kebil memandang Leha Kebaya Jarang. Biodata dirinya yang hendak diberi kepada Leha Kebaya Jarang terkerunyut di tangan. Hatinya hancur berderai.
- dalam cerpen Leman Kompang.

TEASER- SIAPA KEKAH BIDAN SEPIAH

Akan Datang: Senaskah buku yang mengaum, "Tidak semua harimau mati tinggalkan belang, dan tidak semua manusia mati tinggalkan nama." Buku ini kena beli dengan duit. Simpan duit belanja sekolah mulai sekarang.

Model untuk kulit buku: Kulgai Modeling Agency.