
Mereka sangka mereka jumpa jalan mudah untuk kaya. Yang sebenarnya, mereka jumpa jalan mudah untuk mati...
Sekumpulan penduduk membuka sebuah kampung baru di dalam hutan, yang bakal menjadi laluan landasan kereta api berkembar. Harapan mereka, apabila projek landasan merentas kampung itu, mereka dapat wang pampasan dan jadi jutawan.
Namun, mereka alpa satu perkara: hutan yang mereka teroka itu sudah ada penghuni yang menanti. Dan kehadiran mereka tidak disenangi!
Jeritan-jeritan penuh kesakitan sering menggemparkan, memecah kesunyian. Jeritan pertama, dari ketua kampung mereka sendiri. Ada taring panjang terbenam di belakang tengkuknya. Jeritan kedua, dari bidan kampung mereka. Ada kuku-kuku mencengkam di batang tubuhnya.
Kini, kejadian ngeri datang saban malam di petempatan terpencil ini -- Kampung Fatimah Kacip.
Tiada seorang pun tahu siapakah mangsa seterusnya. Yang mereka tahu, setiap kali malam menjelma, mereka dihantui trauma. Ngauman seakan-akan suara manusia kedengaran dibawa angin pawana. Dan di tanah, ada kesan tapak kaki sang pemangsa, yang amarahnya tidak pernah reda.
Mereka terperangkap dalam sebuah dunia di mana mimpi ngeri berjalan di atas empat kaki, darah manusia mengalir tanpa henti, dan tiada siapa pun dapat bersembunyi.
Di Kampung Fatimah Kacip, sebaik sahaja kau terdengar ngauman, kau sudah terlambat...
('Siapa Kekah Bidan Sepiah?' karya terbaru Sindiket Sol-Jah.)