Friday 23 January 2009

BERCAKAP DENGAN JONOS

Siapa Jonos? Ha ha.

............
Jonos akan beraksi di Maskara 7 Februari 2009. Tempat biasa: Planet Pena. Tandakan dalam diari anda.

Wednesday 21 January 2009

AIE - Kartunis Blues Yang Suka Baca Puisi

Ya Aie. Ceritakan sikit tentang latar belakang kau untuk orang yang tak kenal kau lagi.
Aku asal Kuala Lumpur. Dibesarkan di Segamat – Kluang - Kuantan. Abah aku TUDM, jadinya kena ikut posting. Itu pasal aku berpindah randah. Pengalaman jugak tu…dapat belajar hidup kat tempat orang. 1991, habis SPM aku naik Kuala Lumpur semula, start kerja jadi pelukis. Mulanya di majalah Jenakarama. Kemudian majalah Ujang. Dan...aku blues! Ha ha!

Dulu masa kecik-kecik, apa sebenarnya cita-cita kau? Dan sejauh mana ia menjadi kenyataan.
Aku sangat suka melukis dan aku memang nak cari makan dengan hobi aku ni. Masa kat sekolah dulu, cikgu aku kat S.M.Tengku Aris Bendahara, Kluang dan S.M. Seri Mahkota, Kuantan yang selalu tunjukkan muka 'manusia' tiap kali aku zahirkan harapan dan usaha aku. Alhamdulillah, berkat doa semua yang menyokong, 17 tahun penuh cabaran jadi saksi usaha keras aku selama ni.

Ni ramai yang bertanya, apa kesudahan kisah Aku Hidup Dalam Blues?
Aku dengan penulis (engkau la tu…lagi mau tanya. Chet!)…err…tak dapat teruskan sebab hakcipta, penerbit pegang. Setakat ni tak ada sebarang perkembangan. Terpulang kepada penerbit.

Kenapa tak teruskan Blues Untuk Aku?
Sama seperti di atas. Ha ha ha!

Kisah Aku Dan Sesuatu, bila nak sambung? Ha ha ha!
Hahahahahahahahahahahangin satu badan korang tunggu! Ampunkan aku. Perkembangan sangat slow, tapi tetap bergerak. Korang memang sangat berhak untuk naik hangin dan aku mintak sikit lagi kredit masa dengan korang untuk selesaikan urusan hidup sedia ada sebelum aku dapat pergi dengan tenang.

Apa pandangan kau terhadap komik-komik Malaysia?
Berhenti buat kerja pakai mulut. Pengkarya dan pengkritik berenti berbalah tentang genre komik. Fokus siapa pembaca dan pembeli karya kita dan jangan berhenti berusaha hasilkan sesuatu yang mengagumkan.

Aku nak tau jugak ni…kau buat apa sekarang?
Jadi Art Director kat Vision Animation Sdn. Bhd.

Soalan bonus. Kau suka teh tarik ke teh ais ke kopi ke apa?
Main badminton.

Mamak! Air badminton satu! Kurang gula...kasi susu lebih!
:)
- Kartunis Aie akan beraksi di Maskara 7 Februari 2009. Tempat biasa: Planet Pena. Tandakan dalam diari anda.

Tuesday 20 January 2009

BERCAKAP DENGAN PIPIYAPONG bhg 2

Berikut adalah bahagian 2 dalam acara sesi temual Pipiyapong yang dilaksanakan oleh vovin; Untuk membaca Bahagian satu sila klik ini.


Oke, pasal arsenal
Hah

Lu tgk polisi anak ikan arsene wenger ni dah lapuk atau lu masih nampak sinar harapan untuk long term? dah dekat 2,3 tahun gak tak merasa bau cup ni
Soalan ni sensitif ni. Polisi tu bagus sebenarnya. tapi bilangan anak ikan tu yang betul betul terer tak cukup nak menampung musim yang panjang. mesti ada satu dua yang barai kaki lepas tu kelam kabut laa. Lagipun lu tau kan arsenal, main cantik, orang mudah panas hati. Tackle ganas laa kesudahannya. Tapi arsene wenger patut beli laa star kalau nak cium cup. bukan apa, bila semua budak budak muda, mana diaorang punya influence? nak hara
p gallas? hak tuih..!!

Kira takde father figure la ni. umpama budak-budak merewang sebab takde abang dalam keluarga
Hah lebih kurang laa. hehehhe. sebab abang sibuk kerja kolumpo. Nampak sangat liga inggeris ni merepek

Memang merepek pun. Boleh dikatakan overrated jugak la
Ye laa. Macam cerita maut itu hari laa

Hah, apa cite scene black metal tu?
Scene black metal tu memang tak senonoh. lagu memang tak black metal langsung. memang kalau gua jadi black metal, gua akan hantar tukang pukul ke bade tu. Study laa sikit

Gua perasan gak intrepretasi black metal kat malaysia ni macam ada kurang sikit
Ye laa

Dulu masa kecoh black metal tu, tv keluar cover Cypress Hill sebab ada tengkorak, apa cite?
Ye laa bengap laa tu

Celah mana Cypress Hill tu black metal?
Bukan takde internet masing masing. Ada internet buat mende tak berfaedah. Taknak selidik

So band lu ni apa cite? dah boleh masuk AJL tahun depan? lawan Elyana
Gua setakat ni takde pulak hajat nak masuk AJL. Kalau gua masuk pun mungkin bertanding atas tiket komposer untuk artis artis macam elyana tu, siti nurhaliza, jacyln victor dan sebagainya. Amacam?


Mana la gua tahu, gua bukan elyana. apa pendapat lu tentang elyana? kacip tak dengan gua?
Elyana tu pada gua bukan laa cun sangat pun. tapi itu laa lain orang lain selera, kira kacip laa agaknya. lu pun dah lama membujang

Aaah, abis tu tak kira selera lu kat phuying?
Babi, ini serangan peribadi ni. Gua no komen

Back to topic
Orait

Apa benda yang paling ekstrim awek yang minat blog lu buat kat lu?
Setakat ni telefon berejam jam laa. yang lain lain tu takde laa. ada juga hantar email nak berkenalan. gua jawab je laa elok elok. hahaha. jumpa jumpa tu biasa laa. tapi takde laa ringan-ringan macam lu biasa buat tu

Ecehh, cuba memesongkan dakyah
Hehehe. mana tau kot kot terlepas, untung juga

Penah dapat peminat awek psiko? maksud aku, dia bukan peminat filem psiko tu, tapi dia tu psiko
Psiko macam mana tu? jenis ugut bunuh diri?

Mana la gua tahu. gua tak ikut perkembangan lu sangat, lu tanya pasal elyana ble la
Takde lagi laa macam tu, semua ok je

So apa cite gosip gua dengar pasal lu kena mandrem dengan peminat lu tu?
Babi

Eh, tu Pierre Andre, sorry
Mandrem apa jadah?

Gua selalu konfius lu dengan Pierre Andre
Ah cilakak, jauh panggang dari api

Oke la, kita tamatkan interview kita la, panjang la pulak, entah sapa nak baca, so kata-kata terakhir untuk peminat lu?
Hah tu laa. kepada semua peminat blog. Ingat peminat blog saja, bukan peminat gua. Membaca jambatan ilmu.

Gua letak gambar lu dengan Lisa tu eh?
Babi, lisa mana pulak?

Eceh, cover
Babi

----------

Pipiyapong akan beraksi di Maskara 7 Februari 2009. Tempat biasa: Planet Pena. Tandakan dalam diari anda.

BERCAKAP DENGAN PIPIYAPONG bhg 1


Berikut adalah Bahagian 1 dalam acara sesi temual Pipiyapong yang dilaksanakan oleh vovin;

ha
hah

Dah ready nak bertemuramah?
Hah lu soal je

Ok, soalan pertama. Gua rasa tak perlu kenalkan ko lagi, tapi kalo sapa-sapa tak kenal boleh check blog lu la kan. so straight soalan pertama:kata dah masuk tabligh?
Cilakak. Itu semua khabar angin. gua mana into tabligh. hajat tu pun pernah ada sikit je.itu pun cepat cepat gua batalkan niat.

Oke, soalan ke dua. apa ceritanya blog lu ni?
Ni soalan ke?

Ya

Weh, lambatnya, siti sarah raisuddin pun boleh handle soalan-soalan camni
Blog gua ialah blog macam biasa biasa saja. gua tulis cerita kisah benar 90%. yang lain lain gua kasi mesej cara halus.

Kira taktik halus lu dah berjaya buat lu over the top la sekarang ni. Kira dah tolak blog Tok Rimau dan Naga jugak la kalo kira faktor pengikut fanatik ni?
Ah gua bukan bertanding tulis blog. Lagipun pengikut tu dikira dari segi komersial. Lu tau kan gua ni mana 'in' sangat dengan komersial komersial ni. Lagipun depa berada di kelas yang tersendiri. Jadi nak compare gua dengan kutu tu apa jadah?

Betul, gua setuju lu tak boleh dikompare dengan dua tu. Diorang lain zaman. Tapi apa cite jawapan "lagipun berada di kelas yang tersendiri", ni jawapan komersial ni.
Cilakak. ok ok lu potong ayat tu. Lu letak depa dah tua

Soalan seterusnya. gua perati, untuk dapat follower fanatik tahap bukak baju ni, lu kena tulis blog samada: poyo dan marah-marah tapi tak ngaku poyo dan marah-marah atau entri humour. dan macam blog lu, humour lu lagi diterima kerana guna konsep, bak kata Tok rimau, self-deprecating humor, tu yang buat pembaca blog lu "in" dengan apa yang lu tulis.
Hehehe. macam setan soalan. ayat belit belit

Jap la. soalan belum habis. baru nak intelek sikit
Ok teruskan

So gua perati lu dah bina empayar sendiri melalui pengaruh blog lu, kira tahap nak gulingkan pentadbiran Setiawangsa tu setakat one phone call je la. Soalan gua ialah, antara dua mazhab penulisan blog ni, mana lu rasa lebih memberikan impak?
Cilakak. ini gua nak mengamuk ni. sebenarnya mazhab mana mana pun takde hal. Tapi sebenarnya susah juga soalan ni. Gua tulis ikut suka je sebenarnya. Niat attack makwe tu memang laa ada sikit sikit. Maknanya takde laa sampai sakit sakit kepala nak tulis entri bagi orang baca



Ok. Lu dah mendedahkan identiti sebagai peminat tegar kelab anak-anak Ikan Arsene Wenger, seterusnya dah declare meluat dengan Man U. Lu tak takut org-org man u kasi kayu dari belakang, takpun letak ikan mati depan rumah?
Hah itu laa.sapa suruh serius sangat pasal bola..gua berlagak runcit-runcit je dengan arsenal tu. Gua declare meluat tu pun gurau gurau sayang je dengan penyokong manchester. Tapi itu laa. Gua risau juga kalau kena kayu kat belakang. Budak budak skang bukan boleh kira. Macam manchester tu kampung dia..!

Gua perati, tak kisahlah man u ke, kelab anak ikan tu ke, liverpool ke sapa ke, ada geng yang fanatik tak pasal-pasal ni, kira tahap makan hati jugak la bila gurau-gurau bola la ni, stail sama la, konon gurau, tapi bapak seriusnya tinggi suara, apa nasihat lu?
Nasihat gua ialah semangat bola tu memang kena ada. Tapi jangan semangat bola tu pergi buat bergaduh..tapi tu laa. Cakap banyak pun tak guna. Dulu masa takde astro, tak kecoh pulak kelahi sokong sokong bola omputih ni. Pasukan bola liga malaysia ingat tak kecik hati ke?

Oke, cite pasal bola malaysia ni, sapa player paling lu respek?
Gua masa kecik dulu minat fandi ahmad. tapi dia orang singapore. takpe gua ada spare satu lagi. Khairul azman mohamad keeper pahang dulu. Gila terer, sampai gua rasa macam nak main keeper. padahal gua memang dilahirkan untuk score gol. Jadi gua dilema juga laa dalam 5-6 tahun.

Apa jadi?
Skang gua jadi player hujung minggu je. Nak main bola dulu payah. Banyak pilih kasih. Ada ke nak main dengan pasukan negeri pakai kabel? macam orang gila.

Masa sekolah dulu ada la jugak gua dengar2 cite. Hah, ni kes Kaka apa cite? apa komen lu?
Bab kaka ni gua cukup tak berkenan. diorang buat main pasal duit ni. bisnes memang bisnes. tapi paham laa sikit mende macam ni tak payah nak berlawan susah. cuba kalau berjangkit kat malaysia. shukor adan tu tiba tiba perak nak beli harga 1 juta laa contohnya, tapi main macam setan, apa cerita?

Oke la tu, main macam setan, setan ada power api-api
Tapi standard bolasepak profesional punya pasal, dia labelkan harga. Tapi gua panas laa. sebab harga tu lebih dari harga zidane. mana ada player lagi terer dari zidane skang ni. patutnya harga tu mesti bawah lagi. amacam?

Gua setuju gak la tu. kaka kena buktikan dia lagi terer dari zidane dengan hantuk kepala ke player lawan
Hah main dengan man city pulak tu. Memang jadi hancur laa. Lu tengok chelsea apa jadi? Berapa banyak star dia punahkan masa depan?

Ya
Crespo sampai jadi standard standard nizarudin yusop je bila blah.

Kesian gak la. tu shevchencko tu
Hah itu pun sama laa

Dulu elok2 boleh jadi legend milan, abih2 esok main liga arab la tu
Ah ye laa. Tak main liga arab, main bola sepak pantai kat batu buruk. Lepas tu budak budak kecik sana cakap, ini laa player chelsea yang tak terer tu. padahal dulu dia kat dynamo kiew macam mana? budak budak tu mana lahir lagi.

Ya, masa dia ngan Sergei Rebrov, kira memang senjata ampuh la masa tu
Haa. Tu yang juara eropah tu beb

BERSAMBUNG

------------------
Pipiyapong akan beraksi di Maskara 7 Februari 2009. Tempat biasa: Planet Pena. Tandakan dalam diari anda.

Monday 19 January 2009

BERCAKAP DENGAN ADAM KASTURI

Image Hosted by ImageShack.us

Siapa Adam Kasturi?
Adam Kasturi ialah aku, Merde Nouveau, dreamer dan mungkin kau. Definisi ini bertukar-tukar/bertambah selagi umur aku meningkat.

Kenapa 'Kasturi'?
Kasturi ialah nama ketiga aku, ayah aku beri sempena nama Hang Kasturi, 5 tahun lalu dia cakap dia dapat dari mimpi.

Bilakah kali pertama kau sedar yang kau ada kepandaian dalam bidang seni dan sastera ini?
Kepandaian? Haha. Kadang-kadang aku rasa ini lebih kepada hadiah dan sumpahan. Banyak benda jadi bila aku pasca-menulis, positif dan negatif. Kalau nak lari dari kompleksiti, semuanya bermula masa umur aku 14 tahun apabila aku sedar persekitaran aku sial. I was mad at the world, I mean really really mad, rasa macam dunia ada hutang aku benda, but then aku rasa, semua benda aku cipta hanya dalam kepala aku sendiri. Walaupun hampir 8 tahun menulis, aku masih rasa perjalanan aku masih jauh. Dan ya, aku masih rasa dunia ada hutang aku.

Dunia, aku maksudkan persekitaran, masih sial, bukan?

Siapakah yang sedikit sebanyak mempengaruhi gaya penghasilan karya-karya kau?

Ada benda aku baca dan dengar, aku suka dunia mereka, aku boleh relate. Antaranya "Life After God" by Douglas Coupland, Sun-Tzu, Tzara, Penderecki, Robert Wyatt, Hugo Ball, Chopin, The Smiths, Sartre, Gamalinda. Sekarang aku sedang membaca "The Order of Things" by Foucault dan "Kafka on the Shore" by Haruki Murakami.

Apakah isu-isu yang sering menjadi topik kegemaran kau dalam berkarya?

Aku suka benda-benda besar seperti tragedi bahtera Nuh, Laut Merah terbelah, neosurrealism, kosmos, epik, dark comedy, persekitaraan aku, escapism, urban decay, ecopolis hingga perkara sekecil atom.

Mana satu yang betul, seni dan sastera untuk seni dan sastera atau seni dan sastera untuk masyarakat?
Aku tulis untuk diri sendiri, sebagai terapi. Tulis rasa, habis situ. Tapi kadang-kadang rasa tak habis dengan aku lagi, jadi aku tulis. Selagi itu, aku tahu aku masih manusia, aku hidup.

Dan ada dalam ceruk mana dalam hati, aku harap bukti tulisan aku masih bernafas, beri mereka semangat, kalau tak boleh satu Tanah Melayu, satu orang pun jadi, kalau aku terpaksa jadi satu orang itu pun, aku tak kisah.

Kebanyakkan penulis yang mengubah masyarakat dengan karya-karya mereka secara diam-diam. Penulis itu sendiri tidak tahu walaupun sesudah mati.

Seni itu bukan perkara mudah dan remeh.(Bagi aku minimalism itu masih kompleks.) Seni itu boleh makan diri sendiri. Jika buat hanya suka-suka, sila berhenti, pergi buat kerja lain. Kalau aku sekarang tiba-tiba nak buat bangunan, confirm bangunan itu tak tahan lama, runtuh, aku dapat susah.

Dan kita, manusia, seringkali meletak nama pada sesuatu hingga sesuatu itu menjadi nama yang diletak, hingga hilang atau kabur nilai sebenarnya.

Kalau nak jawab soalan ini, sebenarnya tiada yang betul. Aku gemar kedua-dua idea.

Apa komen kau tentang kemunculan pengkarya-pengkarya muda yang begitu bagus dan berbakat tetapi masih belum diiktiraf oleh kelompok pengkarya-pengkarya mapan di dalam dunia seni & sastera tempatan?
Pengkarya muda ‘berbakat’ ini tidak seharusnya menunggu karya mereka diiktiraf oleh pengkarya ‘mapan’ pun. Sekiranya ada rasa mahu menunggu untuk diiktiraf, mereka sepatutnya berhenti dari berkarya.

Pada masa yang sama, aku juga tidak mahu karya-karya ‘bagus’ mereka hanya di hayati oleh golongan buta dan pekak, yang hanya melihat karya tersebut dari segi lapisan luar. Tapi aku tak boleh salahkan golongan buta dan pekak ini kerana amat banyak juga pengkarya generik di zaman ini, yang membuat keadaan bertambah buruk.

Dan aku percaya, jika karya itu bagus, ia bagus, akan bertahan lama. Mana tahu, 100 tahun nanti, ada budak mana yang tak ambil jurusan seni pun, ambil hasil kerja bagus kau dengan serius dan kritikal.

Ke manakah hala tuju kau dalam soal seni & sastera ini?

Jika dalam soal seni & sastera, aku tulis dalam bentuk poin:

a. Terus masuk explore dunia tulisan dan bahasa sedalam-dalamnya sehingga aku tahu a itu sebenarnya apa, lam itu sebenarnya apa. Ini agak bahaya.

b. Menulis buku, epik, filem. (Ini agak klise, aku tahu.)

c. Dekonstruktif dalam penulisan/sastera/puisi.

d. Tunggu "Black Swans".

............
Adam Kasturi akan beraksi di Maskara 7 Februari 2009. Tempat biasa: Planet Pena. Tandakan dalam diari anda.

Saturday 17 January 2009

BERCAKAP DENGAN ANA RAFFALI

Foto dari blog Ana Raffali.

1. Tidak kenal maka tidak cinta. Marilah berkenalan. Siapakah Ana Raffali yang sebenar?
Saya Ana. Ayah orang Negeri Sembilan, ibu pula dari Pahang. Ana dilahirkan di Kuala Lumpur. Sekarang menetap di Lembah Keramat. Kadang-kadang senang dengan keselesaan dan keringkasan. Itulah Ana. Macam baju kurung. Selesa dan ringkas. Tidak gitu? Ana suka bercerita dalam lagu. Pun begitu, Ana berbintang Scorpio. Suka berahsia.

2. Ceritakan sedikit tentang pengalaman pertama Ana mempersembahkan hasil karya sendiri kepada khalayak.
Sebenarnya Ana tak berapa ingat bila pertama kali Ana menyanyikan lagu yang Ana tulis sendiri. Mungkin ia satu pengalaman ngeri yang cuba Ana lupakan tanpa sedar. Ha ha.

3. Siapakah yang sedikit sebanyak menyumbang atau mempengaruhi gaya kerja seni Ana?
Ana tiada latihan muzik formal. Cuma belajar sendiri dan dapat tunjuk ajar dari kawan-kawan. Banyak muzik yang Ana dengar tetapi buat masa ni, layan Eva Cassidy, Songbird. Great artist! Tentang ilham, Ana rasa segala buku yang pernah Ana baca, lagu yang pernah Ana dengar, filem yang pernah Ana tonton, jalan yang pernah Ana lalui, semuanya telah membentuk pemikiran Ana sekarang. Perbualan dengan orang perseorangan pun kadang-kadang menggerakkan hati Ana untuk mencuba sesuatu. Dari Internet juga. Sekarang Ana sudah ada modem. Yay! Tidaklah berharap kepada dengan wi-fi di Fastfood Joint sahaja. Ha ha ha.

4. Apakah isu-isu yang sering menjadi topik kegemaran dalam lagu Ana?
Ana jatuh dalam kategori "hopeless romantic", tentulah Ana gemar menulis tentang cinta. Maklumlah, Ana pernah dikecewakan. Ewah! Siapa tidak pernah kecewa angkat tangan?! Biasalah. No pain no gain. Bukan la maksudnya Ana suka benda sadis. Cuma, kadang-kadang derita memudahkan kita berkarya dengan lebih rasa jujur. Selagi Ana mempunyai kapasiti untuk merasa sendiri atau memahami melalui orang lain, selagi itu Ana akan terus mengupas subjek ini.
Gambar dari aboutthelettera.com

5. Mana satu yang betul, seni untuk seni atau seni untuk masyarakat?
Subjektif. Ana mahu karya Ana didengar oleh orang ramai, tapi Ana tak pernah menulis untuk diterima masyarakat. Ana mahu melihat dan mentafsir peristiwa dengan bijak tanpa terikut-ikut orang lain. Ana tak mahu berkarya untuk memberikan apa yang masyarakat mahu atau suka, Ana tak nak ambil tahu pun apa formula yang berkesan. Ana mahu seni yang Ana perjuangkan berdiri dengan sendirinya, hasil dari segala jalan dan rasa yang Tuhan telah berikan pada Ana. Mudah-mudahan seni dapat memberi peluang untuk kita semua merasa sesuatu yang istimewa, jujur dan indah. Jadi lebih baik 'seni untuk seni' untuk masyarakat.

6. Artis indie juga tidak sunyi dari gossip. Apakah gossip tentang Ana yang paling "juicy"?
Takkanlah Ana nak berkongsi gossip tentang diri sendiri. Ada ke orang nak tahu yang ada kemungkinan Ana Raffali berdarah 1/2 melayu 1/4 cina 1/8 itali? haha.. hanya gossip. Eh.. ini soalan dari wartawan Sol-jah atau Mangga ni? Next question please. Ha ha ha.

7. Ke manakah halatuju kerja seni Ana Raffali dalam masa 10 tahun?
Walaupun dilatih untuk jadi pendidik, Ana rasa mungkin tidak mengajar di sekolah secara formal. Ana mahu menulis lebih banyak lagu dan menjadi pemuzik (yang hebat, kalau boleh) sepenuh masa. Doakan Ana. Amin.

............
Ana Raffali akan beraksi di Maskara 7 Februari 2009. Tempat biasa: Planet Pena. Tandakan dalam diari anda.

Friday 16 January 2009

KENAPA MAT JAN TUTUP BLOG?

Ingat tak seketika dahulu dia ada jual blook Jongkang Jongket? Masih ingatkah kalian?
Ke mana duit hasil jualan itu dilaburkan?
Apa lagi, dia gunakan duit itu selari dengan apa yang dia terer buat sejak turun temurun.

Sekian Nazri M. Annuar melaporkan dari selatan tanah air.




Thursday 15 January 2009

BERCAKAP DENGAN FYNN JAMAL

Photo dari Myspace Fynn Jamal



1. Siapakah Fynn Jamal?

Secara metaforanya, Fynn Jamal adalah suara ramai orang di luar sana. Penggunaan bahasa yang jarang memberi nama pada mana-mana karektor plotnya menjadikan Fynn Jamal begitu karib dengan hati mereka yang membaca. Fynn Jamal, sebenarnya adalah perasaan yang paling jauh disimpan dalam hati, namun dibongkarkan secara berani di atas pentas.

Saya lahir sebagai seorang Nur Affina Yanti binti Jamalludin. Seorang yang biasa2.

Fynn Jamal adalah kegagahan yang saya cipta selepas penat menjadi seorang Yanti yang pengecut, seorang yang hidup untuk menjunjung semua kecuali dirinya.

Dan saya tahu, saya bukan satu-satunya yang merasa begitu.



2. Bilakah kali pertama Fynn sedar bahawa Fynn ada anugerah seni?


Sehingga sekarang, saya masih tidak tahu apakah saya sudah selayaknya dipanggil punya seni. Perkataan itu terlalu tinggi di bola mata saya, dan untuk memberi kategori pada diri sendiri adalah sesuatu yang terlalu bongkak. Kalau hendak dirafa'kan semata-mata pada komen-komen dan pendapat pengikut di luar sana, saya tidak pasti apa mereka benar-benar gelar saya sang seni semata-mata pendapat sendiri atau pada asas maknanya.

Jadi saya memang tidak tahu.

Apa yang saya ingat, tulisan puisi saya yang pertama adalah ketika saya terjumpa kertas-kertas A4 bertaip milik bunda saya. Saya jumpa selepas beberapa bulan dia kembali ke rangkul Tuhan. Puisi yang paling saya ingat adalah "Jangan Ditanya", tentang betapa mesti diredhakan kematiannya dan diharamkan sesiapa bersoal sama Tuhan tentang takdirnya.

Saya tuliskan sesuatu untuk menjawab tulisan itu di belakang kertas lukisan yang disiapkan sebagai kerja rumah. Saya lukis gambar kubur bernisan, dengan puisi (yang malangnya tidak saya ingat itu) dalam font yang paling cantik untuk seorang anak darjah enam.

Saya tidak mampu mengembalikan ingatan tentang tulisan saya itu, tapi saya sangat pasti saya telah menulis menggunakan style ulangan, iaitu setiap baris dalam stanza, saya mulakan dengan "Usah ditanya mengapa".

Saya cuma hafal baris pertamanya:
Usah ditanya mengapa pasir tidur di tepi pantai.

Saya harap itu seni.



3. Siapakah yang sedikit sebanyak menyumbang atau mempengaruhi gaya penghasilan karya Fynn?

Manusia. Bukan sedikit. Hampir 80% terjana dari pengalaman saya sama manusia, atau sekurang-kurangnya apa yang pernah dirasakan kawan-kurang sama manusia lain, juga kisah-kisah manusia di mana-mana tempat dan masa.

Saya amat malu untuk mengaku, tapi saya sememangnya tidak membaca. Dari kecil, cara saya mendapatkan ilmu adalah melalui kaca tv, kerana saya ini manusia visual dan saya gemar observasi. Saya suka cipta relevan sendiri, mendapatkan penjelasan sendiri. Malangnya ia suatu kaedah yang sangat merbahaya, kerana kalau tidak diaplikasikan dengan hati-hati, ia akan menjadi perjudis.

Lalu saya kepilkan sekali sikap gemar bertanya. Saya belajar dari pengalaman sesiapa sahaja. Saya minta diterangkan, saya hendak dijelaskan.

Mungkin kerana saya ini seorang yang tinggi empathy nya, tapi membaca akan memaksa saya memihak, mengikut dan mudah (dipengaruh). Saya tidak mahu terlalu beriya mengikut tulisan sesiapa, kerana kecenderungan untuk berbunyi seperti orang yang saya baca itu ada.

Tapi itu dahulu.
Ketika saya masih lagi berhempas-pulas mencari siapa saya.
Ketika saya sibuk memerah diri mendapatkan intipati saya.

Dan alhamdulillah, selepas sekian lama, tulisan saya sudah stabil hingga ada banyak masa kalau tidak ditulis nama saya pun, sudah ada identiti saya terlorek di bahasa saya.

Maka kini, saya sedang menajamkan diri dengan bacaan.

Saya masih tidak memberi terlalu banyak fokus pada mana-mana penulis baik luar atau dalam negara. Tapi saya sekarang begitu damai merujuk kisah-kisah manusia dalam konteks sejarah Islamiyyah, spesifiknya di zaman rasul dan sahabat.


4. Apakah isu-isu yang sering menjadi topik kegemaran dalam sajak-sajak Fynn?

Cinta.

Klise, saya tahu. Tapi konsep cinta terlalu dijajankan dek kapitalis bahasa (saya merujuk pada konsep cinta murahan dari media) yang bila mana saya sebutkan perkataan itu, sudah terbalik bibir orang mencebik tanda stereotipikal.

Sudah terlalu macam-macam tercipta, semakin banyak aktiviti.
Terlalu banyak distraksi.

Ramai sudah lupa bagaimana cinta itu yang lahir dari jiwa.

Saya hidup atas fantasi menemukan cinta ayahbunda dalam kisah hidup saya. Puisi-puisi saya banyak berkisar tentang harapan mendapatkannya, tentang kekecewaan menunggunya, tentang kehancuran tersalah temukannya.

Dan seperti ramai orang, tulisan-tulisan sebegitu rupanya sudah lama di dalam hati, cuma tidak dijumpakan perkataannya.

Mungkin kerana itu, mereka selesa dengan saya yang menggunakan kosa kata biasa tapi tepat, berbanding perbendaharaan yang meletup tapi tidak sampai.


5. Mana satu yang betul, seni untuk seni atau seni untuk masyarakat?

Seni untuk diri sendiri. Kalau masyarakat atau platform seni itu hendak terima, itu hak mereka.

Seni itu pada pandangan sendiri.
Kenapa perlu diminta-minta anggukan mereka di luar sana?
Sentiasa jujur dgn rasa hati.


6. Apa komen Fynn tentang acara-acara indie terlalu berpusat di KL dan amat jarang di tempat-tempat lain? Tidak senikah orang-orang luar KL?

Seperti saya kata secara halus tadi, seni itu sekadar satu kategori ciptaan. Sebagai contoh, Siti Nurhaliza dikatakan diva etnik kreatif, Adlin Aman Ramli dijolok orang seni alaf baru. Itu semua permainan mereka yang tidak ada kerja lain selain mensensasi.

Tapi kalau hendak menjawab apakah tidak pencipta seni di tempat lain, saya rasa kelakar, lah. Sebab saya pun bukan orang KL. Saya cuma bekerja di KL. Puisi pertama saya pun tercipta di Kota Tinggi, Johor.

Cumanya, acara-acara indie (art scene) berpusat di KL sebab di luar sana, tidak ada satu tempat menonjol untuk golongan orang yang pelik-pelik macam kita. Boleh saja kau hendak busking di Danga Bay, tapi di sana, di tempat tidak lagi ada banyak pendedahan, pak guard Nepal itu akan halau kita.

Kalau acara indie musik, sebenarnya berlambak. Cuma tidak se'bersih' di KL yang memang terang-terang dihadiri rata-ratanya anak-anak universiti yang tidak hendak terlibat sangat kalau ada kemungkinan jadi kes-kes polis.



7. Ke manakah halatuju Fynn Jamal dalam soal seni ini?

Ada suatu malam itu saya terfikir, kalaulah benar saya ada pengikut sendiri, yang setiap butir saya digemarkan dan diikutkan, kenapa tidak saya bawa mereka ke jalan yang lebih molek.

Setidak-tidaknya, saya dapat tunaikan hak saya sebagai seorang muslim.

Tapi menjadi Fynn Jamal yang jelas tidak mencirikan kecantikan Islam itu pasti mencelakan niat saya. Lalu saya mula berdikit-dikit cuba untuk mengubah diri saya.

Dan untuk mengubah diri saya, adalah dengan mengubah suara jiwa saya.
Untuk menukar suara jiwa saya, adalah dengan menulis sesuatu yang lebih ada makna.

Bukan sekadar menulis semata-mata.

Mungkin, kalau dikurniakan Tuhan kemampuan saya, halatuju saya adalah penulisan yang jauh lebih ada signifikasi dengan tujuan saya hidup. Tentang patriotik saya pada agama ini, bukan buta-buta untuk berbual tentang cinta.

Mungkin.

..................
FYNN JAMAL akan beraksi di Maskara 7 Februari 2009. Tempat biasa: Planet Pena. Tandakan dalam diari anda.